Am 16/10/2026 11:14 PM

Dua Petugas TNB Cedera Terkena Renjatan Elektrik Di PMU Kangkar Tebrau

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Petugas TNB Cedera Terkena Renjatan Elektrik Di PMU Kangkar Tebrau
Kredit: Bomba

JOHOR BAHRU, 16 Okt (Bernama) -- Dua petugas teknikal Tenaga Nasional Berhad (TNB) cedera akibat terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kangkar Tebrau di sini petang tadi.

TNB dalam kenyataan hari ini mengesahkan kedua-dua petugas mengalami kecederaan susulan insiden kebakaran di pencawang itu dan telah dikejarkan ke hospital berhampiran.

Kenyataan itu memaklumkan pihak pengurusan TNB telah menghubungi keluarga kedua-dua mangsa dan memastikan mereka mendapat sokongan sewajarnya.

"TNB amat dukacita dengan kejadian ini dan berharap kedua-dua kakitangan yang terlibat diberikan kesembuhan segera," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor memaklumkan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 6.10 petang dan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau digerakkan ke lokasi.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi di lokasi, didapati berlaku insiden renjatan elektrik ketika kerja penyelenggaraan yang menyebabkan dua lelaki dewasa mengalami kecederaan.

"Pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada kedua-dua mangsa sebelum menghantar mereka ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut," menurut kenyataan itu.

Operasi tamat pada 6.45 petang selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.

Terdahulu, TNB mengesahkan kebakaran di PMU Kangkar Tebrau menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Johor Jaya.

Susulan kejadian itu, pasukan teknikal TNB digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja pemulihan bekalan elektrik kepada pengguna terjejas.

Bekalan elektrik di semua kawasan terjejas berjaya dipulihkan sepenuhnya pada 7.20 malam dengan kerja-kerja pemulihan dilaksanakan secara berperingkat bermula 6.44 petang.

-- BERNAMA