SEOUL, 16 Okt (Bernama-Yonhap) -- Kumpulan K-pop sensasi BTS menjadi kumpulan pertama di dunia yang mengumpul 10 bilion strim di Spotify dalam tempoh setahun, menurut syarikat rakamannya pada Jumaat, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut BigHit Music, penyanyi solo seperti Taylor Swift, Ariana Grande dan Bad Bunny pernah mencapai angka itu, namun BTS merupakan kumpulan pertama yang mengatasi 10 bilion strim di Spotify.
Jumlah strim lagu BTS di Spotify meningkat lebih dua kali ganda daripada 4.5 bilion yang dicatatkan tahun lepas, didorong oleh album studio kelima kumpulan itu, "Arirang", yang dikeluarkan pada Mac lepas.
Album itu sahaja telah mengumpul lebih lima bilion strim sejak pelancarannya, sekali gus menjadi album dengan jumlah strim tertinggi di Spotify dalam kalangan album yang dikeluarkan tahun ini.
"Arirang" mendapat perhatian meluas kerana merupakan projek pertama yang menghimpunkan kesemua anggota BTS selepas hampir empat tahun. Album itu dikeluarkan setelah semua anggota kumpulan berkenaan menamatkan perkhidmatan tentera wajib dan bersatu semula.
Album berkenaan melepasi 110 juta strim pada hari pelancarannya, 20 Mac.
"Arirang" turut menjadi album pertama oleh sebuah kumpulan yang menduduki tangga teratas Billboard 200, carta album utama Amerika Syarikat (AS), selama tiga minggu berturut-turut sejak album "Babel" oleh Mumford & Sons pada 2012.
-- BERNAMA-YONHAP