Dunia 16/10/2026 09:36 PM

Pergaduhan, Kecederaan Dilaporkan Dalam Protes Di Buenos Aires

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pergaduhan, Kecederaan Dilaporkan Dalam Protes Di Buenos Aires
Penunjuk perasaan ditahan semasa demonstrasi antip kerajaan di Buenos Aires, Argentina, Khamis, 15 Okt 2026. (AP Photo/Rodrigo Abd)

BUENOS AIRES, 16 Okt (Bernama-dpa) -- Pertempuran tercetus semasa protes oleh pelajar dan kakitangan universiti terhadap dasar penjimatan kerajaan Argentina, menurut laporan akhbar terbesar negara itu, Clarín, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).

Clarin turut melaporkan beberapa tangkapan dan sekurang-kurangnya lapan pegawai polis cedera pada Khamis.

Sementara itu, La Nación melaporkan 10 pegawai polis cedera.

Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di luar Kongres di Buenos Aires untuk menuntut pelaksanaan undang-undang menyediakan pembiayaan bagi universiti awam. 

Presiden fahaman libertarianisme kanan Javier Milei memveto undang-undang itu, yang diluluskan oleh Kongres pada 2025.

Kongres kemudiannya mengatasi kuasa veto namun kerajaan masih belum mengeluarkan dana yang dirancang. Pertikaian juga dibawa ke mahkamah.

Demonstrasi itu pada mulanya berlangsung aman, lapor Clarín.

Bagaimanapun, beberapa individu bertopeng kemudiannya mula membaling batu ke arah penghadang yang melindungi pasukan keselamatan, mendorong penunjuk perasaan lain cuba menolak mereka.

Polis bertindak balas dengan gas pemedih mata dan semburan air, lapor akhbar itu.

Pertikaian mengenai langkah penjimatan dalam pendidikan berterusan sejak 2024, dengan pelajar dan kakitangan universiti berulang kali turun ke jalanan.

Pada Mei, 1.5 juta orang mengambil bahagian dalam demonstrasi di seluruh negara, menurut penganjur.

-- BERNAMA-dpa