Am 16/10/2026 05:50 PM

IHH Perkenal Model Penjagaan Baharu Di Johor, Tingkat Kecekapan Rawatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
IHH Perkenal Model Penjagaan Baharu Di Johor, Tingkat Kecekapan Rawatan
Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia Dr Kamal Amzan -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- IHH Healthcare Malaysia, antara penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan terbesar di negara ini memperkenalkan model penjagaan baharu di Johor yang bertujuan meningkatkan kecekapan rawatan dan mengurangkan kos operasi, sekali gus memberi peluang kepada penjimatan kos dinikmati oleh pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia Dr Kamal Amzan berkata inisiatif berkenaan menyaksikan Afiniti Wellness di Medini, Iskandar Puteri dibangunkan sebagai Pusat Rawatan Ambulatori (ACC) khusus untuk Gleneagles Hospital Johor (GHJ).

Beliau berkata pusat itu akan mengendalikan prosedur perubatan tertentu yang mampu diselesaikan dalam masa sehari, sekali gus membolehkan hospital utama menumpukan perhatian kepada pesakit yang memerlukan rawatan lebih kompleks.

“Sekiranya semua prosedur rawatan harian ini dapat dijalankan di pusat rawatan harian, sudah tentu kos operasi akan lebih rendah. Pusat ini tidak akan beroperasi 24 jam. Jumlah petugas yang diperlukan juga tidak ramai dan membolehkan kami mengurangkan kos operasi, seterusnya menyalurkan penjimatan itu semula kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Kamal berkata Johor dipilih sebagai lokasi perintis pelaksanaan model penjagaan kesihatan baharu itu, dengan perancangan untuk memperluas perkhidmatan rawatan ambulatori seumpama itu di ibu negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dr Kamal berkata pembangunan ACC itu akan membolehkan pelbagai prosedur terpilih termasuk rawatan pesakit luar, pemeriksaan diagnostik dan pembedahan harian seperti endoskopi, katarak, rawatan pergigian serta saringan kesihatan dijalankan di pusat khusus berkenaan.

Beliau berkata hal berkenaan membolehkan GHJ mengoptimumkan penggunaan kemudahan hospital utamanya bagi merawat kes kritikal dan kompleks, termasuk pembedahan pintasan jantung, pembedahan otak serta rawatan onkologi lanjutan.

“Peluasan itu, berserta Afiniti Wellness dan tanah milik sedia ada di Medini, akan menjadi asas kepada pembangunan kampus kesihatan bersepadu seluas 18 ekar (7.28 hektar) yang dilengkapi dengan menara suite pakar, ruang perniagaan runcit serta kemudahan klinikal,” katanya.

Dr Kamal berkata menjelang tempoh lima tahun, GHJ disasarkan menjadi sebuah pusat rawatan kuaternari bertaraf serantau dengan kapasiti keseluruhan 600 katil.

Peluasan kampus itu akan melibatkan pembinaan blok baharu untuk pesakit dengan kapasiti 300 katil di belakang bangunan utama, yang akan meningkatkan jumlah kapasiti hospital kepada 600 katil.

Beliau berkata pelaburan berkenaan dilaksanakan ketika Johor bersiap sedia menghadapi pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijangka mempercepat pergerakan rentas sempadan, aliran tenaga kerja mahir serta permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan serantau di sepanjang koridor Johor-Singapura.

Bagi memenuhi keperluan pesakit antarabangsa serta memudahkan pergerakan rentas sempadan dari Singapura dan rantau ini, GHJ turut menyediakan Lounge Pesakit Antarabangsa khusus yang menawarkan kemudahan sehenti untuk urusan visa, penginapan serta pengaturan perjalanan.

Kerja-kerja pengubahsuaian Afiniti Wellness dijadual bermula dalam masa terdekat dengan ACC disasar beroperasi sepenuhnya antara suku kedua dan suku ketiga 2028.

Sejak mula beroperasi pada 2015, GHJ telah merekodkan lebih 1.7 juta rawatan, dengan sokongan lebih 100 pakar dan lebih 1,200 profesional penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA