BAKU, 16 Okt (Bernama-CMG) -- Menteri Luar China Wang Yi mengemukakan empat cadangan bagi memperkukuh perpaduan dan kerjasama dalam kalangan negara anggota Persidangan Interaksi dan Langkah Membina Keyakinan di Asia (CICA) pada Sidang Kemuncak CICA ke-7 di Baku, Azerbaijan, pada Khamis.
Wang, yang menghadiri sidang kemuncak itu selaku Wakil Khas Presiden China Xi Jinping menegaskan bahawa isu yang dihadapi Asia pada asasnya perlu diselesaikan oleh rakyat rantau itu sendiri menerusi perpaduan dan kerjasama.
Beliau yang juga Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) berkata keselamatan Asia perlu dicapai dengan menegakkan konsep keselamatan yang universal, komprehensif, bekerjasama dan mampan.
"Kita perlu meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan pelbagai negara yang mempunyai inisiatif pembangunan masing-masing, mengekalkan persekitaran kerjasama yang terbuka, memajukan liberalisasi dan kemudahan dalam perdagangan serta pelaburan.
“Kita juga perlu memastikan kestabilan dan kecekapan laluan pengangkutan antarabangsa, mengukuhkan jaminan bekalan bahan mentah yang strategik, sumber tenaga dan makanan supaya negara-negara Asia boleh bersinergi mempercepat pemodenan masing-masing," kata Wang.
Wang turut menekankan kepentingan semua pihak untuk terus mendukung nilai-nilai Asia yang berteraskan keamanan, kerjasama, keterbukaan dan keterangkuman, selain menghormati hak setiap negara dalam memilih model tadbir urus mengikut acuan masing-masing.
Beliau berkata kerjasama dan pertukaran dalam bidang budaya, pelancongan, kesihatan, wanita, belia, media serta kumpulan pemikir perlu terus diperkukuh, di samping menggalakkan hubungan antara rakyat bagi meningkatkan persefahaman dan keharmonian antara tamadun.
Wang turut menggesa supaya peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terus diperkasakan dan prinsip asas hubungan antarabangsa yang termaktub dalam Piagam PBB dipelihara.
Beliau turut menekankan keperluan menaik taraf tadbir urus digital serta keupayaan pengurusan bencana dan kesihatan awam demi membangunkan sistem tadbir urus Asia yang lebih cekap, inklusif dan berdaya tahan.
-- BERNAMA-CMG