KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta Taekwondo Malaysia (TM) memberi tumpuan lebih serius kepada virtual taekwondo, selepas ini.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata virtual taekwondo tersebut, wajar diberikan tumpuan sewajarnya memandangkan disiplin tersebut masih belum dikuasai mana-mana negara, setakat ini.
Beliau berkata permintaan tersebut diutarakan, sewaktu menerima kunjungan hormat delegasi TM diketuai presidennya Azizul Annuar Adenan semalam, yang turut membincangkan hala tuju badan memayungi sukan tempur itu bagi tempoh 2026-2030.
“Antara fokus menarik seperti pembangunan para taekwondo, virtual taekwondo dan pegawai teknikal, penganjuran acara antarabangsa di Malaysia, serta persiapan menghadapi Sukan SEA Malaysia 2027.
“Virtual taekwondo, yang sudah dipertandingkan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, membuka peluang baharu kerana disiplin ini belum didominasi oleh mana-mana negara. Besar harapan saya agar TM memberi tumpuan serius ke arah ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Virtual taekwondo merupakan sukan tempur tanpa sentuhan, menggunakan penderia penjejak gerakan pada anggota badan seperti paha dan tulang keting untuk menterjemah sepakan dan tangkisan dunia nyata ke dalam persekitaran maya.
Mohammed Taufiq pada masa sama berharap agar sukan taekwondo, kembali menjadi penyumbang pingat utama buat negara pada Sukan SEA 2027.
Sukan SEA 2027 yang melibatkan empat kluster utama meliputi Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 Sept tahun depan.
Pada Sukan SEA Thailand 2025, skuad taekwondo negara membawa pulang satu emas, satu perak dan empat gangsa.
-- BERNAMA