PUTRAJAYA, 16 Okt (Bernama) -- Semua pemilik dan pengusaha bas sekolah diminta mengemas kini maklumat pemandu masing-masing bermula hari ini hingga 30 Okt bagi membolehkan penyaluran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,000 berjalan lancar.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan proses pengemaskinian maklumat boleh dilakukan melalui Portal Rasmi APAD https://bantuanpemandu.mot.gov.my/bas-sekolah.
Maklumat yang perlu dikemas kini ialah nama dan alamat terkini pemandu, nombor telefon pemandu, maklumat lesen memandu yang masih sah laku, maklumat lesen vokasional (PSV) yang masih sah laku dan nombor akaun bank pemandu (penerima sahaja).
“APAD mengambil maklum hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar penyaluran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,000 kepada pemandu bas sekolah di seluruh negara dapat diselesaikan sebelum sambutan perayaan Deepavali tahun ini,” menurut kenyataan itu.
APAD telah melaksanakan libat urus bersama dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia serta Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Kuala Lumpur dan Selangor bagi memastikan proses semakan kelayakan dan pembayaran bantuan dapat dilaksanakan dengan teratur, tepat serta lancar.
Antara beberapa langkah dipersetujui ialah semakan dan pengesahan semula data pemandu bas sekolah dalam pangkalan data APAD, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk status kesahan lesen memandu dan PSV berkaitan bagi memastikan maklumat penerima memenuhi keperluan kelayakan ditetapkan.
Pembayaran bantuan akan dilaksanakan secara berfasa mulai 22 Okt ini.
APAD menyeru semua pemilik dan pengusaha bas sekolah agar mengambil tindakan segera dalam tempoh ditetapkan serta memastikan semua maklumat yang dikemukakan adalah tepat, lengkap dan terkini.
“Kerjasama ini amat penting bagi melancarkan proses pengesahan kelayakan serta mempercepat penyaluran bantuan kepada pemandu bas sekolah yang layak,” menurut kenyataan itu.
APAD komited untuk bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu berjalan lancar demi kebajikan pemandu bas sekolah di seluruh negara, selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk membantu golongan yang terlibat dalam sektor pengangkutan awam.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kira-kira 53,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah dijangka menerima bantuan kewangan secara sekali beri sebanyak RM1,000 setiap seorang sebelum sambutan Deepavali.
-- BERNAMA