Dunia 15/10/2026 07:38 PM

Pesta Pantun Di Bandar Seri Begawan Pengerat Hubungan Malaysia-Brunei

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pesta Pantun Di Bandar Seri Begawan Pengerat Hubungan Malaysia-Brunei

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Pasukan daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Radio Televisyen Brunei (RTB) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengambil bahagian dalam Pesta Pantun yang berlangsung di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan, pada Rabu.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia dalam kenyataan pada Khamis, pihaknya menganjurkan acara itu dengan kerjasama RTB, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei Darussalam serta UBD.

Pada acara itu, ketiga-tiga pasukan secara bergilir mengambil bahagian dalam sesi berbalas pantun yang dikendalikan oleh seorang jurupantun.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam Datuk Mohd Aini Atan dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan harapan agar pantun sebagai khazanah warisan sastera Melayu dapat terus dipelihara, dihayati dan diwariskan kepada generasi muda.

Beliau turut menekankan peranan pantun sebagai wadah memartabatkan bahasa dan budaya Melayu, di samping memperkukuh hubungan istimewa antara Malaysia dengan Brunei Darussalam.

Majlis dirasmikan oleh Mohd Aini bersama-sama Pemangku Pengarah RTB Awang Cheong Chee Keong dan Pemangku Pengarah DBP Brunei Awangku Suip Haji Abdul Wahab.

Pesta pantun itu turut menghimpunkan kira-kira 150 jemputan terdiri daripada wakil RTB, DBP dan UBD, anggota angkatan sasterawan serta wakil pelajar institusi pengajian tinggi.

-- BERNAMA