IPOH, 15 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak menugaskan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Perak untuk melakukan kajian terperinci bagi mengenal pasti punca lambakan 4,075 rumah siap tidak terjual di negeri itu setakat 30 Jun.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) baru-baru ini bagi merangka langkah intervensi serta strategi penyelesaian yang berkesan.
Beliau berkata dapatan kajian itu amat penting sebagai asas pertimbangan kerajaan negeri dan jabatan terlibat untuk memperketat kelulusan permohonan projek perumahan baharu di kawasan yang mengalami isu tersebut.
“Kita hendak mencari puncanya supaya dalam perancangan termasuk kelulusan bagi kerajaan dan jabatan teknikal akan datang, kita tidak mengulangi isu yang sama termasuk dalam memberi fokus kepada kawasan tertentu.
“Kita juga berharap ada cadangan yang boleh bantu kita menyelesaikan unit tidak terjual kerana ia satu pembaziran. Unit tidak terjual (tetapi) ada orang awam belum memiliki rumah, bagaimana kita boleh membuat padanan (untuk menyelesaikan masalah ini),” katanya.
Ng berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan Malaysia Property Expo (MAPEX) Perak 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata data setakat ini menunjukkan tiga daerah merekodkan jumlah unit tidak terjual paling tinggi, iaitu Kinta, Hilir Perak dan Sitiawan melibatkan lebih 1,000 unit merangkumi kediaman teres satu dan dua tingkat.
Selain itu, Ng berkata cadangan Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2027 untuk mengecualikan duti setem dalam pembelian rumah pertama mampu menjadi pemangkin positif dalam merangsang pembelian, seterusnya mengurangkan lambakan kediaman sedia ada.
“Apabila Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2027 mencadangkan untuk mengecualikan duti setem, kita lihat ia langkah yang boleh memberi lebih banyak insentif kepada pihak berkaitan dalam urusan jual beli.
“Ini khususnya dapat menangani isu unit yang tidak dapat dijual selepas pelancaran dan diharapkan menjadi dorongan kepada (orang awam membeli) unit yang tidak terjual,” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Okt, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengecualian penuh duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik diberikan bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000.
-- BERNAMA