Dunia 15/10/2026 06:24 PM

Dua Maut Dalam Banjir Kilat Di Istanbul

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Maut Dalam Banjir Kilat Di Istanbul
(AP Photo/Egecan Ozguner)

ISTANBUL, 15 Okt (Bernama-Xinhua) -- Dua orang maut di Istanbul selepas hujan lebat mencetuskan banjir kilat, dengan jumlah hujan mencecah hampir 200 kilogram bagi setiap meter persegi, menurut pihak berkuasa pada Khamis, lapor Xinhua.

Menurut Pejabat Gabenor Istanbul, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut akibat renjatan elektrik selepas terpijak lopak air di kejiranan Balat, daerah Fatih. Dalam kejadian berasingan di daerah Sariyer, seorang pejalan kaki berusia 34 tahun maut selepas tergelincir dalam arus banjir ketika melintas jalan.

Hujan lebat bermula pada pagi Rabu dan bertambah buruk pada sebelah malam, dengan bahagian Eropah bandar itu paling teruk terjejas serta menyebabkan gangguan besar terhadap pengangkutan.

Air banjir menenggelami jalan utama dan kenderaan, menyebabkan pasukan kecemasan menggunakan jengkaut untuk menyelamatkan pengguna jalan raya yang terkandas. Lalu lintas hampir lumpuh sepenuhnya apabila tahap kesesakan menghampiri 100 peratus, menyebabkan ramai penduduk terkandas selama berjam-jam.

Data awal daripada pejabat gabenor menunjukkan hampir 1,300 kejadian banjir dilaporkan di seluruh bandar, dengan lebih 800 kediaman dan 280 premis perniagaan ditenggelami air. Pasukan kecemasan turut menangani 47 kejadian membabitkan individu yang terkandas akibat paras air yang meningkat.

Cuaca buruk itu turut menjejaskan operasi di dua lapangan terbang utama Istanbul iaitu Lapangan Terbang Istanbul dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen. Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan beberapa penerbangan yang tiba terpaksa membatalkan pendaratan dan dilencongkan ke lapangan terbang lain, lapor Hurriyet Daily, akhbar harian berbahasa Inggeris di Turkiye.

Pejabat gabenor melarang motosikal dan kenderaan dua roda lain daripada menggunakan jalan raya di bandar itu mulai petang Rabu sehingga diberitahu kelak. Susulan hujan lebat yang dijangka berterusan hingga Khamis, pihak berkuasa menggantung sesi persekolahan di seluruh bandar dan menggesa penduduk supaya tidak keluar rumah kecuali jika perlu.

-- BERNAMA-XINHUA