KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Sebanyak 400 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada keluarga B40 dan M40 menerima manfaat kelas tuisyen percuma menerusi program ACE SPM 2026, hasil sumbangan RM254,000 oleh Yayasan TZA (YTZA) kepada 10 sekolah di Parlimen Pandan dan Ampang di sini.
Penasihat YTZA Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata setiap sekolah menerima RM25,400 yang disalurkan menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) masing-masing bagi membiayai kelas tuisyen percuma untuk 40 pelajar setiap sekolah.
Beliau berkata selain kelas tuisyen bagi empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah, program itu turut menyediakan alat tulis, buku catatan, intervensi pembelajaran berstruktur serta video dalam talian mengenai tip ujian lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris oleh guru berpengalaman.
“Tujuannya adalah kita nak rapatkan jurang pencapaian pendidikan dan kita nak pastikan pelajar-pelajar mendapat akses kepada sokongan pembelajaran yang tersusun, berkualiti dan juga inklusif,” katanya pada majlis Kirana Budi YTZA di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Pengerusi YTZA Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.
Selain itu, YTZA turut menyediakan makan tengah hari kepada pelajar yang menghadiri kelas tuisyen dan menaja sarapan pada setiap hari peperiksaan bagi semua calon SPM 2026 di 10 sekolah berkenaan termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan Indah, SMK Pandan Mewah, SMK Taman Seraya, SMK Pandan Jaya dan SMK Taman Tasik.
Lima lagi sekolah ialah SMK Tasek Permai, SMK Taman Kosas, SMK Bandar Baru Ampang, SMK Dato Ahmad Razali dan SMK Bukit Indah.
Tengku Zafrul yang juga Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri berkata program itu turut merangkumi “Seminar SPM: Pemangkin Membina Laluan Kerjaya Masa Depan” yang diadakan sepanjang September lepas di semua sekolah terlibat bagi memperluas perspektif calon mengenai hala tuju selepas SPM, pilihan pendidikan dan peluang kerjaya.
ACE SPM dimulakan pada penghujung 2024 sebagai bantuan sekali sahaja kepada sekolah bagi persediaan calon SPM tahun berkenaan sebelum diperluas kepada 10 sekolah di Selangor pada 2025 dengan peruntukan RM300,000.
Pelaksanaan pada 2025 membabitkan 467 calon yang mengikuti kelas tuisyen percuma selama lima bulan, manakala lebih 4,000 pelajar mendapat akses kepada bahan pembelajaran dan sokongan akademik tambahan.
YTZA ialah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada 2022 bagi menangani cabaran sosial, ekonomi dan alam sekitar menerusi pendidikan, pembasmian kemiskinan, pemuliharaan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.
-- BERNAMA