KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Persatuan Pengakap Malaysia (PPM) akan memperketat langkah keselamatan dan meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi risiko jerebu sepanjang penganjuran Jambori di Udara dan Jambori di Internet (JOTA-JOTI) Kebangsaan 2026 di Sungai Petani, Kedah dari 16 hingga 18 Okt ini.
Ketua Pengakap Negara Mejar Jeneral Datuk Wira Prof Dr Mohd Zin Bidin berkata pemantauan berterusan terhadap Indeks Pencemar Udara (IPU) akan dilaksanakan berdasarkan maklumat rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan setiap aktiviti mengambil kira keadaan kualiti udara semasa.
“PPM mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua peserta terutama Pengakap Kanak-Kanak serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan sistem pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, PPM berhak mengubah pengisian, lokasi atau jadual program, termasuk menangguhkan atau membatalkan aktiviti tertentu sekiranya keadaan jerebu atau faktor keselamatan lain berisiko menjejaskan kesihatan peserta.
Sekiranya bacaan IPU menunjukkan keadaan tidak selamat untuk peserta, aktiviti luar akan dinilai dari semasa ke semasa dan disesuaikan, dihadkan atau ditangguhkan.
Aktiviti di kawasan terbuka akan dikurangkan atau dipindahkan ke ruang tertutup sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk, manakala aktiviti fizikal yang memerlukan penggunaan tenaga berlebihan dielakkan ketika kualiti udara tidak memuaskan.
PPM turut memaklumkan aktiviti alternatif disediakan agar program berjalan lancar tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan peserta.
Peserta digalakkan membawa pelitup muka bersesuaian, minum air secukupnya serta segera memaklumkan kepada guru, pemimpin atau petugas kesihatan sekiranya mengalami gejala batuk, sesak nafas, sakit tekak atau iritasi mata.
Dalam pada itu, PPM turut menyediakan petugas keselamatan dan kesihatan serta kemudahan pertolongan cemas di lokasi penganjuran bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku kecemasan.
Program bertemakan “Dunia yang Aman dan Inklusif” itu akan menghimpunkan peserta Pengakap dari seluruh negara dengan penekanan terhadap perpaduan, persahabatan dan keterangkuman.
Setakat 3 petang, 35 kawasan telah mencatatkan IPU tidak sihat dengan bacaan tertinggi 194 di Klang, Selangor.
-- BERNAMA