MELAKA, 15 Okt (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memperuntukkan RM1.05 juta bagi melaksanakan Program Sekolah Angkat MADANI 2026 yang memanfaatkan 42 Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dalam kem tentera di seluruh negara.
Ketua Eksekutif LTAT Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi berkata peluncuran program tersebut disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersempena lawatan rasmi beliau ke Kem Terendak di sini hari ini.
"Meneruskan kejayaan pelaksanaan program ini pada 2025 yang melibatkan 38 sekolah rendah dan menengah dalam kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM), inisiatif tahun ini memberi tumpuan kepada penambahbaikan prasarana sekolah agama dan KAFA bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.
"Usaha ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh akses kepada pendidikan berkualiti serta meningkatkan taraf hidup rakyat, termasuk keluarga anggota tentera," katanya.
Beliau berkata di bawah program berkenaan, LTAT memperuntukkan RM35,000 bagi menaik taraf kemudahan surau untuk menyediakan persekitaran yang lebih selesa.
"Sebagai institusi pengurusan dana di bawah Kementerian Pertahanan, LTAT mempunyai mandat yang jelas namun tanggungjawab kami melangkaui pengurusan simpanan dan persaraan warga ATM.
"Kami percaya kesejahteraan mereka turut merangkumi kebajikan keluarga dan masa depan anak-anak, justeru melalui Program Sekolah Angkat MADANI dan Kem Santuni MADANI, kami komited untuk menyediakan kemudahan pendidikan dan prasarana komuniti yang lebih baik demi meningkatkan kualiti hidup warga ATM serta keluarga mereka," katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan dan ATM atas sokongan serta kerjasama dalam menjayakan Program Sekolah Angkat MADANI.
"Selaras dengan aspirasi GEAR-uP, inisiatif ini mencerminkan komitmen LTAT untuk memperkukuh kesejahteraan warga ATM dan keluarga melalui penyediaan persekitaran pendidikan yang lebih baik demi masa depan generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled dalam kenyataan sama berkata usaha meningkatkan kesejahteraan warga ATM perlu merangkumi bukan sahaja kebajikan anggota yang sedang berkhidmat, malah keperluan keluarga mereka, khususnya dalam aspek pendidikan dan kemudahan kehidupan seharian.
“Anggota ATM memikul tanggungjawab besar dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara, justeru menjadi tanggungjawab ekosistem kementerian termasuk LTAT untuk memastikan kebajikan keluarga mereka, khususnya pendidikan anak-anak turut diberikan perhatian sewajarnya.
"Program seperti Sekolah Angkat MADANI membuktikan bahawa usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, agensi dan sektor korporat.
“Saya berharap inisiatif ini bukan sahaja dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik, malah membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak warga ATM untuk membina masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Bersempena lawatan tersebut, Mohamed Khaled turut meninjau Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di kem berkenaan yang merupakan antara sekolah angkat LTAT di bawah program berkenaan.
Dalam lawatan berasingan ke Kem Sungai Udang pula, Mohamed Khaled turut meninjau tapak pelaksanaan Program Kem Santuni MADANI serta menyempurnakan penyerahan sumbangan berjumlah RM110,000 bagi menaik taraf kemudahan gimnasium untuk kegunaan anggota tentera yang menetap di dalam kem tersebut.
Program Kem Santuni MADANI 2026 merupakan kesinambungan inisiatif yang dilaksanakan pada tahun sebelumnya dan dilancarkan oleh Menteri Pertahanan sempena Jelajah Wira LTAT 2026: Edisi Pantai Timur di Pangkalan TUDM Kuantan pada 13 Julai lepas dengan peruntukan sebanyak RM600,000.
Melalui program ini, LTAT dan syarikat kumpulannya memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan asas dan infrastruktur komuniti di enam kem ATM bagi mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih selesa dan berkualiti kepada anggota serta keluarga.
-- BERNAMA