NILAI, 15 Okt (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan kegiatan pengedaran pelbagai jenis dadah seberat 1,194.56 kilogram (kg) dengan nilai keseluruhan RM161.67 juta dalam empat kes berasingan di Sepang, Selangor serta Perlis pada September dan Oktober lepas.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Amran Ahmad berkata rampasan itu, membabitkan dadah jenis methamphetamine seberat 753.91kg, ganja (33kg), dan heroin serta kokain (407.65kg).
Beliau berkata pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan, dipercayai ejen pengurusan barangan eksport berusia 27 dan 47 tahun bagi membantu siasatan.
“Dalam serbuan pada 26 Sept, JKDM melakukan pemeriksaan ke atas 16 kotak di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dihantar ke Australia dan 285 bungkusan plastik mengandungi serbuk kristal putih disyaki dadah, seberat 293.60kg bernilai RM14,680,000 yang dicampur dengan kotak berisi alat ganti kenderaan.
“Bagi kes kedua serbuan pada 1 Okt di pesisiran Sungai Perlis, JKDM menemukan dua guni ganja disorokkan di bawah jeti haram seberat 33kg bernilai RM99,000,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Amran berkata serbuan seterusnya pada 10 Okt di sebuah pondok kawasan perkuburan Siam Jejawi Perlis dan menjumpai 17 kotak berwarna coklat.
Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas kotak itu menemukan 228 bungkusan pelbagai warna disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine, dengan anggaran berat 460.31kg dan nilaian dianggarkan berjumlah RM23,015,500.
“Hasil risikan di MASkargo KLIA pada 12 Okt, JKDM melakukan pemeriksaan ke atas satu kotak kayu yang kemudiannya menemukan karung guni di dalam sebuah mesin pemampat mengandungi heroin 161kg dan kokain 246.65kg bernilai RM123,872,500 untuk dihantar ke Dhaka, Bangladesh,” katanya.
Amran berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA