Am 15/10/2026 03:34 PM

Pengerusi Badan Berkanun Mengaku Tidak Bersalah Terhadap 15 Pertuduhan Rasuah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pengerusi Badan Berkanun Mengaku Tidak Bersalah Terhadap 15 Pertuduhan Rasuah

GEORGE TOWN, 15 Okt (Bernama) -- Seorang pengerusi sebuah badan berkanun di Pulau Pinang hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas 15 pertuduhan menerima rasuah lebih RM800,000 antara Jun 2025 hingga Julai 2026.

Datuk Dr Shaik Hussein Mydin, 53, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Shaik Hussein dituduh secara rasuah menerima wang berjumlah RM847,107.61 melalui syarikat Aliran Ilham Sdn Bhd (AISB) dalam beberapa transaksi, dengan nilai suapan antara RM45.51 sehingga RM244,620 daripada pengarah ATSH Management Sdn Bhd (ATSH) Datuk R Albert Suresh.

Wang itu didakwa diterima sebagai upah melantik ATSH menjadi subkontraktor kepada AISB, bagi menyiapkan sebuah blok asrama 10 tingkat dan kemudahan di Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) di Bukit Panchor, Seberang Perai Selatan menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) yang bernilai RM23,268,215.35.

Kesemua kesalahan itu, didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Perda Selatan, Bandar Perda dekat sini antara 26 Jun 2025 hingga 9 Julai 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Lim Jin Hong dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar.

Shaik Hussein diwakili tujuh peguam diketuai Datuk Amer Hamzah Arshad bersama-sama Datuk Hasnal Rezua Merican, Mohd Shahrullah Khan, Simon Tan, Dr. Shamsher Singh Thind, Muzzammil Merican serta Intan Nur Alia Nodzri. 

Terdahulu, Lim dan Nurnajihatul Idayu menawarkan jaminan RM1 juta dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, Amer Hamzah menyifatkan jumlah jaminan ditawarkan pihak pendakwaan keterlaluan, memandangkan ia hanya untuk memastikan kehadiran anak guamnya di mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan syarat tambahan yang ditawarkan pihak pendakwaan dan menetapkan 8 Jan 2027 untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh untuk memohon mendapatkan semula pasport bagi tempoh dan tujuan tertentu, sekiranya terdapat keperluan.

-- BERNAMA