Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Menyambut baik gelombang positif apabila semakin ramai artis muda mula berani menghasilkan karya bergenre etnik kreatif, ratu irama Malaysia Noraniza Idris bagaimanapun mengingatkan agar karya yang dihasilkan hendaklah berpaksikan ilmu dan keaslian warisan seni yang betul.
Sebagai figura yang sudah empat dekad berjuang dalam arena seni tradisional, beliau gembira melihat perkembangan itu yang disifatkannya membuktikan warisan seni negara masih mendapat tempat di hati masyarakat moden.
"Cuma Kak Ani nak ingatkan, jangan ghairah atau terlampau nak mengejar ruang kosong. Sebelum mahu berkarya atau buat lagu tradisional, carilah ilmu, fahamkan betul-betul.
"Ilmu itu tidak susah dicari, rujuklah mereka yang lebih pakar. Kita perlu banyak bertanya agar tidak sesat jalan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau malah memuji disiplin tinggi barisan pelapis seperti Aisha Retno, yang disifatkan mempunyai jati diri kukuh apabila membawakan irama makyung serta lagu rakyat Kelantan dengan penuh penghayatan.
"Penglibatan aktif bakat baharu ini membuktikan bahawa muzik tradisional mempunyai potensi besar untuk terus berkembang di bawah acuan moden yang berpaksikan keaslian," katanya yang turut mengajak masyarakat agar sentiasa berbangga mengangkat warisan bangsa.
Pada masa sama, beliau mengingatkan agar teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) hanya dijadikan sebagai alat bantuan kerana AI tidak mampu menggantikan “jiwa” sesebuah lagu etnik.
Mengulas single terbaharunya, Noraniza berkata lagu bertajuk Salam Kaut ciptaan Hafiz Hamidun dengan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya itu mula mendapat sambutan hangat di YouTube.
"Menerusi lagu ini, kita membawa mesej agar generasi muda menjaga adab dan tatasusila. Kita mahu didik anak muda supaya kembali menghayati adab sebenar masyarakat kita, biar moden, tetapi budi bahasa tidak boleh dipinggirkan," katanya.
Beliau berkata single itu adalah permulaan kepada penerbitan album terbaharu, Indai Malaya Edisi Pertama, yang bakal memuatkan sekurang-kurangnya enam lagu dan dijangka siap serta diterbitkan pada September tahun depan.
Dalam pada itu, berkongsi tentang persiapannya menjelang Konsert Gema Bumantara di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini, beliau berkata semuanya berjalan lancar dan teruja untuk kembali bergandingan dengan Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.
"Saya memberi tumpuan penuh pada latihan vokal serta stamina bagi memastikan gabungan istimewa di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti meninggalkan memori terindah buat semua peminat yang hadir," katanya yang akan menyampaikan dua buah lagu duet dengan Siti Nurhaliza.
-- BERNAMA