Am 14/10/2026 11:04 PM

Anugerah Seri Angkasa 2026 Terima 1,601 Pencalonan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Anugerah Seri Angkasa 2026 Terima 1,601 Pencalonan
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berucap pada Majlis Kira Detik Anugerah Seri Angkasa 2026 di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 menerima 1,601 pencalonan bagi kategori televisyen, radio dan media baharu.

ASA edisi ke-37 bertemakan “Segalanya Bermula Di Sini” itu menerima 1,106 penyertaan bagi kategori televisyen, radio (421) dan media baharu (74).

Anugerah itu mempertandingkan 40 kategori televisyen, 17 kategori radio dan tiga kategori media baharu, selain dua kategori khas, iaitu Anugerah Khas Juri dan Anugerah Tokoh Seri Angkasa.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata pengiktirafan menerusi ASA turut merangkumi sumbangan penggiat di belakang tabir termasuk penerbit, penulis skrip, pengarah, jurukamera, penyunting dan kru teknikal.

Beliau berkata kecemerlangan industri kreatif bukan bergantung pada teknologi semata-mata, sebaliknya lahir daripada gabungan bakat, kreativiti, keberanian mencuba dan usaha menghasilkan karya bermakna.

“ASA bukan sekadar pentas anugerah, tetapi pentas penghormatan kepada mereka yang memilih untuk berkarya, berani untuk mencuba dan tidak pernah berhenti mempercayai bahawa sesebuah karya mampu menyentuh hati manusia,” katanya ketika berucap pada Majlis Kira Detik Anugerah Seri Angkasa 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Datuk Bahria Mohd Tamil, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Erwin Khairul Ahmad.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata industri kreatif Malaysia perlu menghasilkan kandungan tempatan yang bermutu, berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

“Kita mesti berani menjadi pencipta. Kita tidak boleh hanya mengimport cerita dari seluruh dunia. Kita mesti membawa cerita Malaysia ke seluruh dunia kerana kita sendiri mempunyai kisah tentang keberanian, mempunyai budaya yang kaya, bahasa yang mudah dan kepelbagaian yang unik,” katanya.

Malam Kemuncak ASA 2026 akan berlangsung pada 24 Okt ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Penganjuran ASA 2026 mendapat sokongan penajaan daripada beberapa syarikat dan organisasi  termasuk CIMB, Tenaga Nasional Berhad (TNB), DRB-HICOM Berhad, TikTok, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Bernama.

-- BERNAMA