Am 14/10/2026 09:48 PM

Isu Perlindungan, Kebajikan Petugas Kesihatan Tumpuan Perbahasan Belanjawan 2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Isu Perlindungan, Kebajikan Petugas Kesihatan Tumpuan Perbahasan Belanjawan 2027

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Isu perlindungan dan kebajikan petugas kesihatan serta kesihatan mental pelajar mendapat perhatian Ahli Parlimen semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) mencadangkan kerajaan mengkaji penubuhan skim perlindungan tugas risiko tinggi, termasuk perkhidmatan doktor udara (FDS), berikutan tragedi nahas helikopter FDS di Long Lellang di Ulu Baram, Sarawak pada 8 Sept lepas yang mengorbankan lima nyawa.

Beliau berkata insiden berkenaan yang mengorbankan seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) memperlihatkan perbezaan perlindungan yang diterima waris berdasarkan status pekerjaan mangsa, meskipun mereka berada dalam helikopter dan menjalankan misi yang sama.

“Saya mencadangkan skim perlindungan ini berasaskan tiga prinsip. Pertama automatik, perlindungan bermula daripada seorang yang diarah menjalankan tugas rasmi berisiko tinggi tanpa memerlukan permohonan insurans atau caruman tambahan daripada pegawai.

“Kedua menyeluruh, meliputi misi udara, laut dan darat, operasi menyelamat, bantuan bencana, misi kesihatan serta tugasan kemanusiaan berisiko tinggi. Ketiga, skim baharu ini menjadi perlindungan tambahan dan tidak menghapuskan atau mengurangkan kelayakan waris di bawah pencen, KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial), ex gratia, insurans atau kontrak kerajaan,” katanya.

Willie turut menegaskan penganugerahan tender perkhidmatan FDS tidak seharusnya berasaskan harga terendah semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira faktor keselamatan, usia helikopter, rekod penyelenggaraan, kebolehpercayaan armada dan keupayaan pengendali.

Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) turut menyokong cadangan berkenaan dengan menegaskan perlindungan kepada petugas kesihatan perlu merangkumi semua bentuk penugasan berisiko, bukan hanya perkhidmatan udara.

Beliau berkata sekiranya peluasan elaun petugas di kawasan berisiko daripada RM30 kepada RM100 hanya melibatkan perkhidmatan udara, kebajikan petugas yang berdepan bahaya ketika menggunakan jalan darat, menyeberangi sungai atau menaiki pengangkutan air untuk memberikan rawatan, khususnya di kawasan pedalaman dan penempatan Orang Asli juga perlu diberi perhatian.

“Saya mencadangkan supaya perlindungan takaful disediakan kepada doktor, pembantu perubatan, jururawat dan pemandu yang bertugas di kawasan berisiko bagi menjamin kebajikan mereka sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian ketika menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) dalam perbahasannya menggesa KKM dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mengambil pendekatan proaktif dengan menilai serta mengiktiraf lebih banyak kelayakan perubatan termasuk dari universiti luar negara bagi menangani kekurangan tenaga kerja kesihatan negara.

“Contohnya, program pengajian perubatan di China menawarkan pilihan yang menarik dari segi kos dan kualiti latihan klinikal, justeru perlu ada perluasan pengiktirafan bagi program yang memenuhi piawaian Malaysia tanpa menurunkan standard pendidikan perubatan tempatan,” katanya sambil memaklumkan beberapa institusi seperti Shanghai Jiao Tong University dan Fudan University sudah diiktiraf MMC.

Datuk Shahelmy Yahya (BN-Putatan) pula menggesa KKM menyiasat punca 91 daripada 138 pegawai perubatan yang diluluskan penempatan di Sabah tidak melaporkan diri, selain mengenal pasti faktor negeri itu kurang menjadi pilihan untuk berkhidmat.

Beliau berkata usaha menarik lebih ramai pegawai perubatan ke Sabah perlu disertai penambahbaikan kemudahan asas termasuk kuarters, bekalan air dan elektrik, capaian Internet serta jaringan jalan raya, selain pemberian elaun dan imbuhan setimpal dengan cabaran penempatan serta kos sara hidup setempat.

“KKM mesti mengenal pasti segala kekurangan dan kelemahan yang perlu direformasi. KKM mesti bertindak untuk memastikan Sabah tidak lagi menjadi the last choice (pilihan terakhir),” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) membangkitkan keperluan memperkukuh intervensi kesihatan mental murid dengan memastikan data berkaitan kesihatan mental dan psikologi pelajar dapat dikongsi antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan KKM.

Beliau berkata perkongsian data berkenaan penting antara kementerian dan seharusnnya tidak bersifat terlalu sulit atau OSA (Akta Rahsia Rasmi), bagi membolehkan intervensi dilaksanakan dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

“KKM memang selalu hadir ke sekolah untuk kempen sebagai pendekatan menangani isu kesihatan mental pelajar, namun adakah terdapat data dibekalkan oleh KPM untuk membuat intervensi itu secara bersasar dan berkesan,” katanya yang turut menggesa kerajaan mengembalikan semula klinik komuniti bagi meningkatkan akses rawatan dan mengurangkan kesesakan pesakit di klinik kesihatan awam.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA