KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Seramai 12 ahli fisioterapi dari seluruh negara menerima Sijil Program Profesional Fisioterari Kardiovaskular dan Respiratori Lanjutan selepas menamatkan latihan selama empat bulan di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sijil tamat program berkenaan disampaikan oleh Timbalan Dekan (Siswazah) Fakulti Perubatan UKM Profesor Datin Dr Norlinah Mohamed Ibrahim mewakili Dekan fakulti itu Profesor Datuk Dr Marina Mat Baki.
Marina, dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Norlinah, berkata program itu adalah inisiatif strategik untuk meningkatkan keupayaan klinikal ahli fisioterapi dalam mengendalikan pesakit dengan keadaan kesihatan kompleks termasuk penyakit kardiovaskular, strok dan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD).
Beliau berkata latihan lanjutan itu penting untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan ahli fisioterapi dalam menyokong pemulihan pesakit secara menyeluruh.
“Majoriti ahli fisioterapi sememangnya dibekalkan dengan kemahiran asas tetapi latihan lanjutan ini berupaya meningkatkan kecekapan klinikal mereka dalam menguruskan kes yang kompleks.
“Modul ini melatih peserta dalam mobilisasi awal pesakit di unit rawatan rapi, pemulihan sebelum dan selepas pembedahan berisiko tinggi serta pemulihan komuniti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelaras Program Profesor Madya Datuk Dr Nur Ayub Md Ali berkata program tersebut merangkumi latihan dalam penilaian klinikal secara sistematik, penggunaan instrumen kardiorespiratori serta pentafsiran imej perubatan seperti sinar-X, tomografi berkomputer, pengimejan resonans magnetik dan ultrabunyi.
Nur Ayub, yang juga Pakar Bedah Perunding Kanan Kardiotorasik dan Pensyarah Perubatan Jabatan Surgeri, Falkulti Perubatan UKM, berkata latihan turut meliputi pengurusan pesakit kritikal, penggunaan alat bantuan pernafasan bukan invasif, terapi oksigen serta pemulihan sebelum dan selepas pembedahan kardiotorasik, abdomen serta bariatrik.
-- BERNAMA