Dunia 14/10/2026 09:13 PM

Kerjasama Perkapalan Yang Lebih Kukuh Diperlukan Bagi Melindungi Infrastruktur Penting Maritim

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerjasama Perkapalan  Yang Lebih Kukuh Diperlukan Bagi Melindungi Infrastruktur Penting Maritim
Canada’s High Commissioner to Malaysia, Jodi Robinson during an interview with Bernama International News Service. -- Bernama photo

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Gangguan terhadap laluan perkapalan utama dan kabel dasar laut boleh mengancam bekalan makanan, keselamatan tenaga serta kesalinghubungan internet melebihi lingkungan Laut China Selatan, yang menuntut kerjasama maritim yang lebih kukuh, kata dua diplomat hari ini.

Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Jodi Robinson berkata ketahanan maritim memerlukan perlindungan terhadap sistem saling berhubung yang merangkumi pelabuhan, koridor perkapalan dan rangkaian dasar laut, berasaskan penghormatan kepada undang-undang antarabangsa.

“Namun pada akhirnya, ketahanan bukannya mengenai melindungi mana-mana satu bahagian infrastruktur secara berasingan. Ia adalah mengenai melindungi sistem yang menghubungkan kita,” katanya dalam ucapan khas pada hari kedua Persidangan Laut China Selatan Institut Maritim Malaysia (MIMA) kesembilan  2026 di sini pada Rabu.

Robinson memberi amaran bahawa sekatan ke atas laluan bekalan utama boleh membawa akibat buruk kepada jutaan manusia, dengan memetik ancaman terhadap keselamatan tenaga di Selat Hormuz serta keterjaminan makanan yang dikaitkan dengan penghantaran bijirin Laut Hitam di negara pengeluar pertanian utama.

“Latihan ketenteraan atau pengawal pantai untuk mengepung sesebuah pulau, yang dipanggil ‘anti-access area denial’ atau A2/AD, adalah tidak boleh diterima. Komuniti antarabangsa tidak boleh dan tidak akan berdiam diri dalam situasi yang menggugat kestabilan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata pertikaian yang berupaya mengganggu bekalan makanan dan tenaga memberi implikasi di luar rantau ini, memandangkan sifat ekonomi global yang saling berhubung.

Robinson turut memuji kerjasama Malaysia bersama negara-negara pesisir lain dalam memelihara pelayaran menerusi Selat Melaka serta penyelarasannya dalam rundingan ASEAN-China mengenai draf Kod Tatalaku yang berasaskan undang-undang antarabangsa.

Beliau mengulangi sokongan Kanada terhadap Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan dialog berterusan bagi mencari penyelesaian berkekalan.

Sementara itu, Duta Perancis ke Malaysia Marc Abensour berkata infrastruktur dasar laut merupakan isu strategik yang menjadi perhatian ASEAN, dengan sambungan bawah laut amat penting untuk melengkapkan Grid Kuasa ASEAN manakala kabel komunikasi dasar laut membawa lebih 90 peratus trafik internet global.

Berucap dalam ucapan khas berasingan pada persidangan itu, beliau berkata antara 150 hingga 200 insiden kabel direkodkan di seluruh dunia setiap tahun, kebanyakannya berpunca daripada kemalangan termasuk yang disebabkan oleh sauh kapal atau tanah runtuh di dasar laut.

Bagaimanapun, kemungkinan berlakunya tindakan secara sengaja tidak lagi boleh diabaikan di tengah-tengah kemajuan teknologi laut dalam dan ancaman hibrid yang melibatkan tindakan berbaur permusuhan oleh negara di bawah ambang ketenteraan, katanya.

Abensour berkata keupayaan rangkaian global untuk menghalakan semula trafik berikutan kegagalan kabel tidak menghilangkan kerentanan negara-negara individu yang bergantung kepada bilangan sambungan yang terhad.

“Bergantung kepada satu laluan, satu pembekal, atau satu kuasa merupakan satu kelemahan. Kepelbagaian bukannya mengenai memilih pihak; ia adalah mengenai memastikan pilihan kita kekal terbuka,” katanya.

Beliau mengetengahkan kabel SeaMeWe-6 yang menghubungkan Singapura ke Marseille di Perancis sebagai laluan terus tambahan antara Malaysia dan Eropah yang bakal memperkukuh kesalinghubungan dan autonomi strategik.

Abensour turut menekankan keperluan kerjasama yang lebih rapat dengan pihak industri, sambil menyatakan bahawa kurang daripada 60 kapal kabel khusus terdapat di seluruh dunia untuk memasang, menyelenggara dan membaiki kabel.

Memastikan sumber yang terhad ini kekal tersedia untuk bertindak balas dengan pantas terhadap sebarang insiden adalah sangat penting, katanya.

Beliau berkata Perancis menyokong kerjasama keselamatan maritim EU-ASEAN melalui perkongsian maklumat dan inisiatif kesedaran maritim yang boleh membantu mengesan aktiviti mencurigakan berhampiran infrastruktur dasar laut.

Persekitaran operasi yang stabil, boleh diramal dan selamat, disokong oleh penghormatan kepada UNCLOS serta kebebasan pelayaran, adalah penting bagi pihak industri menjalankan peranan mereka, kata beliau.

Dianjurkan oleh MIMA, persidangan dua hari dari 13 hingga 14 Okt itu menghimpunkan pembuat dasar, diplomat, pakar akademik serta pakar keselamatan maritim bagi meneliti kerjasama rantau, ketahanan, dan rangka kerja undang-undang maritim.

-- BERNAMA