Ekonomi 14/10/2026 06:45 PM

Perak Sumbang RM12.29 Bilion Daripada Jumlah Perdagangan Negara Bagi Tempoh Jan-Ogos 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perak Sumbang RM12.29 Bilion Daripada Jumlah Perdagangan Negara Bagi Tempoh Jan-Ogos 2026
Pengarah Kanan Bahagian Stategik Matrade, Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman berucap ketika hadir pada Majlis Perasmian Eksport Perak 2026. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

IPOH, 14 Okt (Bernama) -- Perak menyumbang sebanyak RM12.29 bilion atau 0.5 peratus daripada jumlah perdagangan negara dengan peningkatan sebanyak 7.6 peratus sepanjang Jan hingga Ogos tahun ini berbanding tempoh sama pada 2025.

Pengarah kanan bahagian perancangan strategik Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman berkata pada 2025, Perak menyumbang sebanyak RM17.64 bilion atau 0.6 peratus daripada jumlah perdagangan negara.

Bagi sumbangan eksport pula Perak berada di kedudukan kesembilan tertinggi dengan sumbangan RM6.96 bilion atau 0.4 peratus daripada eksport negara pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, katanya. 

Dalam tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini pula, Perak menyumbangkan sebanyak RM4.44 bilion atau 0.3 peratus daripada jumlah eksport negara berbanding tempoh sama pada 2025.

"Di sebalik angka-angka ini terdapat kapasiti pengeluaran, kemahiran dan perusahaan yang boleh dihubungkan dengan permintaan dunia. Bagi eksport, kekuatan ini perlu bergerak sebagai satu ekosistem. 

"Antaranya pengeluar bersiap sedia menjaga mutu dan bekalan, agensi kerajaan membantu pematuhan dan kemasukan pasaran, pembiaya menyokong aliran tunai dan peningkatan kapasiti, penyedia logistik mengurus penghantaran, pengeksport berpengalaman pula boleh membuka ruang kepada PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) sebagai pembekal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Eksport Perak 2026 yang disempurnakan Timbalan Pengarah Sektoral 1 Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak L. Kumaresan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Raja Badrulnizam berkata sebanyak 28 syarikat dari Perak menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2026) pada September lepas termasuk lapan usahawan daripada Sekretariat Usahawan Negeri Perak yang menyertai Pavilion Negeri Perak, antaranya Industri Keropok Tronoh, Ravi Putumayam Ipoh Enterprise dan Eurofresh Sdn Bhd.

Sebanyak 29 syarikat Perak juga menyertai program padanan perniagaan MATRADE iaitu Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang diadakan bersempena dengan MIHAS 2026, yang mana MATRADE membawa 300 pembeli luar negara termasuk 50 pembeli premium ke Kuala Lumpur. 

"Syarikat dari Perak mencatatkan hasil jualan eksport berpotensi semasa pameran berjumlah RM12.57 juta dan RM103.36 juta jualan berpotensi semasa INSP MIHAS.

"Ini menunjukkan produk Perak mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran antarabangsa. Pertemuan singkat dengan pembeli di pameran dan semasa padanan perniagaan di MIHAS boleh menjadi permulaan hubungan dagang yang panjang, jika disusuli dengan tekun," katanya.

Sementara itu Raja Badrulnizam berkata Bantuan Ekosistem Eksport perlu sepadan dengan tahap perusahaan memandangkan ada syarikat yang perlu memperkemas pembungkusan dan label, meningkatkan kapasiti dan pensijilan serta ada yang memerlukan pengedar. 

Beliau berkata MATRADE membuka laluan kepada maklumat dan peluang manakala rakan agensi melengkapkan sokongan untuk memperkasakan perniagaan.

"Hari Eksport Perak menyatukan ekosistem ini. Para panel klinik eksport akan membincangkan (antaranya) piawaian, perdagangan digital, logistik, pembiayaan dan peluang dalam rantaian bekalan serta pengeksport berjaya negeri Perak akan bersama kita untuk berkongsi pengalaman unik.

"Kepada peserta, bawalah pulang satu tindakan yang jelas, satu jurang untuk ditutup, satu pasaran untuk dikaji atau satu pembeli untuk disusuli. Catat keperluan yang anda perlu ambil tindakan, tetapkan tindakan bersama dan ukur kemajuannya," katanya.

-- BERNAMA