KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Bantuan khas kewangan RM1,000 secara sekali bayar kepada pemandu teksi, kereta sewa dan pemandu bas sekolah yang mula disalurkan hari ini akan digunakan bagi menampung keperluan harian keluarga serta membiayai pembaikan kenderaan yang sekian lama tertangguh akibat kekangan kewangan.
Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Kuala Terengganu dan Marang Ramli Mohd Don berkata bantuan itu amat besar nilainya kerana pendapatan harian pemandu teksi pada masa ini sangat sedikit.
“Ada yang dapat RM20 sehari, yang keluar kerja pulang tangan kosong pun ramai. Inilah nasib kami sekarang, tetapi apa boleh buat, ini sahaja kerja yang kami tahu buat,” katanya ketika ditemui di Stesen Teksi dan Kereta Sewa di Kuala Terengganu.
Beliau berkata bantuan berkenaan akan memberikan manfaat kepada lebih 50 pengusaha teksi dan kereta sewa di negeri itu yang kini berdepan pelbagai tekanan untuk kelangsungan hidup.
Seorang pemandu teksi dari Marang, Yusoff Maulad Ishak, 64, berkata bantuan kewangan itu akan digunakan untuk menukar tayar kereta dan membeli sedikit barangan dapur.
Di PAHANG, Pengerusi Persatuan Pemandu-Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Pahang Timur Mat Yasin Talib menyambut baik inisiatif Kerajaan MADANI itu yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan pemandu yang berdepan kesukaran mendapatkan pendapatan mencukupi berikutan permintaan terhadap perkhidmatan berkenaan semakin merosot.
“Sekarang, kami yang bergantung pada teksi ini memang sangat susah. Dalam seminggu, kadang-kadang kami hanya dapat RM10 sahaja,” katanya.
Di KELANTAN, pemandu teksi Abdullah Awang, 71, berkata perkhidmatan teksi semakin kurang popular kerana kebanyakan pengguna memiliki kenderaan sendiri serta menggunakan e-panggilan dan bas.
“Bantuan ini besar maknanya pada kami yang kadang-kadang tidak mendapat sebarang pelanggan sehari. Wang ini bukan hanya boleh tampung keperluan semasa tapi juga boleh kami gunakan untuk baiki kerosakan kereta yang kebanyakannya telah uzur,” katanya.
Di SELANGOR, Presiden Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) Kamarudin Hussain berkata bantuan itu akan memanfaatkan antara 7,000 hingga 8,000 pemandu teksi dan kereta sewa di negeri berkenaan, khususnya kira-kira 3,000 pemandu di kawasan luar bandar seperti Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.
Beliau berkata kebanyakan pemandu merupakan warga emas yang berusia 50 tahun ke atas yang memerlukan perhatian khusus kerajaan bagi meneruskan kelangsungan hidup seharian mereka.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERSIM) berharap semua pemandu terlibat memperbaharui kad pemandu dan mengemas kini maklumat bagi melancarkan penyaluran bantuan berkenaan.
Kamarudin turut menyarankan kerajaan menubuhkan Yayasan Teksi Malaysia yang berperanan sebagai pusat sehenti dan akademi selain menyediakan skim khas insurans bermotor atau perdagangan bagi membantu pemandu perkhidmatan itu.
Sementara itu di KEDAH, pemandu bas sekolah Azmi Abu Bakar, 56, berkata bantuan itu dapat membantunya menampung kos penyelenggaraan kenderaan yang sebelum ini terpaksa ditangguh.
“Ada benda yang saya perlu tangguh untuk tukar sebab modal tidak cukup. Namun, ada masa saya usahakan juga kerana ini melibatkan keselamatan penumpang bas, jadi dengan bantuan ini, banyak yang saya boleh buat untuk perbaiki bas sekolah yang sudah lebih tujuh tahun saya bawa ini,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan khas kewangan RM1,000 secara sekali bayar diberikan kepada kira-kira 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah secara berperingkat.
Perdana Menteri hari ini menghadiri majlis penyerahan sulung bantuan itu melibatkan 500 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah Zon Tengah sebagai penerima simbolik kepada inisiatif berkenaan.
-- BERNAMA