Am 14/10/2026 06:09 PM

Kawalan Sempadan Maritim Kudat Diperkukuh, Radar AI Dirancang Pada 2028

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kawalan Sempadan Maritim Kudat Diperkukuh, Radar AI Dirancang Pada 2028

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pengawasan keselamatan di sektor Kudat, Sabah akan dipertingkat menerusi perolehan radar dan kamera jarak jauh berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI), bagi memperkukuh kawalan sempadan maritim negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata perolehan aset itu, dirancang di bawah Pelan Pelaksanaan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada 2028, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keupayaan pengawasan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata langkah penguatkuasaan turut dilaksanakan secara berterusan, bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin melalui laluan tidak sah.

“Berdasarkan penilaian keselamatan semasa oleh ESSCOM (Eastern Sabah Security Command), sektor perairan Kudat, Pulau Banggi dan Pulau Balambangan yang berhadapan dengan Pulau Balabac, Filipina dikenal pasti sebagai antara kawasan yang memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan.

“Ini berikutan kedudukan dan geografi, keluasan perairan serta kewujudan laluan laut yang berpotensi digunakan bagi kemasukan tanpa izin dan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Shamsul Anuar menjawab usul yang dikemukakan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) berhubung keperluan mendesak memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan maritim Sabah-Filipina, khususnya di perairan Balabac, Palawan serta mengekang kemasukan warga asing menerusi laluan tidak sah.

Ahli Parlimen Lenggong itu berkata berdasarkan statistik oleh ESSCOM, bagi daerah Kudat tangkapan pendatang asing tanpa izin meningkat 79.4 peratus kepada 122 orang pada 2025, berbanding 68 orang pada 2024.

Selain itu, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 pula merekodkan enam kes melibatkan 23 tangkapan pada 2025, berbanding empat kes pada tahun sebelumnya, manakala Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mencatatkan 30 kes melibatkan 91 tangkapan warga asing dari tahun 2025 hingga September 2026.  

“Statistik ini mencerminkan usaha penguatkuasaan berterusan, namun tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai jumlah keseluruhan cubaan penceroboh atau trend ancaman sebenar memandangkan skop pelaporan setiap agensi berbeza-beza,” katanya.

Shamsul Anuar berkata usaha membanteras penyeludupan turut diperkukuh menerusi saluran diplomatik dan kerjasama dua hala termasuk Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Filipina Ke-9 di Manila pada Ogos serta platform Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) bersama dengan Indonesia dan Filipina.

“Kerjasama ini penting supaya usaha memperkukuh bukan sekadar tertumpu pada penahanan individu di sempadan, tetapi turut menyasarkan rangkaian sindiket yang mengatur kegiatan tersebut,” katanya. 

-- BERNAMA