Dunia 14/10/2026 05:51 PM

Presiden Colombia Tandatangan Dekri Larang Sekatan Menjelang Protes

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Presiden Colombia Tandatangan Dekri Larang Sekatan Menjelang Protes
FILE - Presiden Colombia Abelardo De La Espriella. Barranquilla, Colombia, on 8 Sept, 2026. (AP Photo/Fernando Vergara, Pool, File)

ISTANBUL, 14 Okt (Bernama-Anadolu) -- Presiden Colombia Abelardo de la Espriella menandatangani dekri keselamatan yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa menghalang pembinaan penghadang jalan, melarang penutupan jalan raya dan menangani kekacauan menjelang demonstrasi di seluruh negara yang dijadualkan berlangsung pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.

"Di Colombia, hak untuk protes dihormati, tetapi tiada hak untuk melakukan kemusnahan, menyekat jalan raya, menyerang pasukan keselamatan, melakukan keganasan atau mencetuskan kekacauan," kata Espriella menerusi ucapan video.

Beliau berkata langkah itu memberikan kerajaan kuasa yang diperlukan untuk melindungi rakyat dan "memerangi vandalisme serta keganasan yang berselindung di sebalik demonstrasi".

Dekri itu dikeluarkan susulan seruan mengadakan demonstrasi oleh beberapa kesatuan sekerja utama, termasuk Persekutuan Guru Colombia (Fecode) dan Kesatuan Pusat Pekerja, bersama pertubuhan berhaluan kiri yang merancang perhimpunan di Bogota, Medellin, Cali dan Barranquilla.

Bekas Presiden Gustavo Petro turut mengumumkan hasrat menyertai penunjuk perasaan yang akan berarak dari Parque Nacional ke Plaza de Bolivar di ibu negara bagi menyuarakan tuntutan berkaitan pendidikan, penjagaan kesihatan, perlindungan pekerja dan kos sara hidup.

Espriella berkata pihak berkuasa akan mewujudkan pusat arahan bersepadu bagi menyelaras tindakan polis, tentera dan pentadbiran perbandaran.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pasukan keselamatan akan mendokumentasikan sebarang tindakan yang mengganggu ketenteraman, selain memastikan penunjuk perasaan tidak menghalang pengangkutan kargo atau menyekat laluan kenderaan kecemasan.

-- BERNAMA-ANADOLU