KUALA KANGSAR, 14 Okt (Bernama) -- Gaji permulaan RM2,500 bagi graduan baharu yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 untuk penjawat awam, perlu menunggu pekeliling rasmi yang akan memperincikan kaedah pelaksanaannya.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) merangkap Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata perkara itu, termasuk tempoh pelaksanaan serta komponen pembayaran berkaitan.
“Kita menyambut baik apa yang telah diumumkan melalui belanjawan, tetapi bagaimana ia dilaksanakan harus menunggu kaedah yang ditetapkan menerusi pekeliling.
“Perkara ini memerlukan tatacara yang lebih terperinci, termasuk bagaimana ia hendak dilaksanakan dan tempoh pelaksanaannya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat MADANI SPA di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, di sini hari ini.
Beliau berkata persiapan bagi pelaksanaan inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan, lazimnya dimulakan pada tahun pengumuman dibuat bagi membolehkan ia dilaksanakan pada tahun berikutnya.
“Insya-Allah, kita doakan perkara ini dapat dilaksanakan pada awal tahun depan,” katanya.
Mengulas sama ada kadar RM2,500 itu merangkumi elaun lain, Ahmad Jailani berkata perkara berkenaan akan diteliti dan diperjelaskan menerusi pekeliling rasmi.
Beliau berkata penelitian terperinci diperlukan, memandangkan pelaksanaan inisiatif itu melibatkan peruntukan kewangan yang besar, serta jumlah penerima manfaat yang ramai.
“Perkara ini mesti dibuat dengan cara yang lebih teliti dan teratur. Saya yakin, pihak yang bertanggungjawab telah menjalankan tugas mereka dan perkara ini dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
-- BERNAMA