KUALA PILAH, 14 Okt (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah kewibawaan institusi Raja hendaklah dipelihara berlandaskan integriti, keadilan dan tanggungjawab.
Baginda bertitah dalam konteks Negeri Sembilan, Adat Perpatih dan peruntukan undang-undang menjadi asas kedudukan serta pewarisan takhta, manakala institusi adat melibatkan Undang Yang Empat, Lembaga, Ibu Soko, Buapak dan anak buah merupakan warisan turun-temurun yang penting dalam memelihara adat dan menjamin kestabilan negeri.
Justeru, Tuanku Muhriz bertitah supaya sebarang pertikaian berkaitan kedudukan atau pewarisan takhta mestilah diselesaikan berdasarkan adat dan undang-undang yang berkenaan, bukannya mengikut kepentingan atau kehendak peribadi.
“Sehubungan itu, pihak-pihak yang sejak beberapa bulan kebelakangan ini mengambil tindakan sehingga menimbulkan pertikaian terhadap aturan warisan atas alasan mempertahankan adat perlu memahami bahawa adat tidak boleh dipertahankan dengan melanggar aturan adat itu sendiri.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menjejaskan kewibawaan institusi adat dan istana, malah berisiko menggugat kestabilan negeri serta menghakis kepercayaan rakyat,” titah baginda pada Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu ke-17 di Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.
Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-'Abidin.
Istiadat penuh tradisi itu turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.
Tuanku Muhriz bertitah sistem adat hendaklah terus diperkukuh supaya kekal relevan dengan perkembangan zaman tanpa mengabaikan prinsip dan aturan yang menjadi asasnya.
Baginda turut bertitah bahawa kewibawaan institusi Raja bergantung kepada penghormatan terhadap adat, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Kedudukan Raja yang tinggi dan mulia datang bersama amanah dan tanggungjawab yang besar. Kepercayaan rakyat pula merupakan asas penting memastikan institusi ini terus dihormati dan dipelihara. Bak kata pepatah Melayu, ‘Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’, keadilan dan integriti hendaklah sentiasa menjadi asas kepimpinan,” titah baginda.
Baginda turut bertitah supaya sejarah dijadikan pedoman dan iktibar selain mengingatkan agar kepentingan diri tidak mengatasi kebenaran dan keadilan sehingga keselamatan, kesejahteraan serta warisan yang dipelihara turun-temurun menjadi korban.
“Adat bukan sekadar warisan untuk dibanggakan tetapi amanah yang wajib dipelihara dan dipertahankan dengan tanggungjawab. Masa depan dan kestabilan negeri bergantung pada kesediaan kita menghormati adat, mematuhi undang-undang dan meletakkan kepentingan negeri mengatasi kepentingan peribadi demi generasi akan datang,” titah baginda.
Baginda turut mendoakan supaya Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman dan makmur dengan institusi beraja, adat warisan serta perpaduan rakyatnya sentiasa terpelihara.
-- BERNAMA