Am 14/10/2026 04:23 PM

Pulau Pinang Bincang Penerbangan Sewa Khas Terus Ke Arab Saudi - Exco

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pulau Pinang Bincang Penerbangan Sewa Khas Terus Ke Arab Saudi - Exco
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berucap pada Sesi Perkongsian Pelancongan Myanmar-Pulau Pinang di sini hari ini.

GEORGE TOWN, 14 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan Asia Barat bagi kemungkinan menyediakan penerbangan sewa khas ke Arab Saudi, susulan ketiadaan penerbangan terus ke negara itu dari negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata Pulau Pinang tidak mempunyai penerbangan terus ke Arab Saudi susulan krisis Asia Barat yang bermula sejak 28 Feb lepas, dan keadaan itu kekal sehingga kini.

"Penerbangan terus Pulau Pinang-Dubai oleh Flydubai dan Pulau Pinang-Doha oleh Qatar Airways yang terhenti sejak krisis itu juga masih belum disambung semula.

"Hal ini menjejaskan pilihan perjalanan penduduk negeri ini ke Asia Barat dan Eropah yang kini perlu menggunakan laluan alternatif, termasuk melalui Singapura," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Kerjasama Pelancongan Myanmar-Pulau Pinang di sini hari ini.

Wong berkata pihaknya juga sedang berbincang dengan syarikat penerbangan yang berpangkalan di Asia Barat bagi mencari jalan untuk menyambung semula penerbangan itu, namun pemulihan laluan itu bergantung pada kestabilan geopolitik di rantau berkenaan, keyakinan syarikat penerbangan dan pelancong untuk kembali melakukan perjalanan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan cadangan itu masih dalam perbincangan dan belum mempunyai pengumuman rasmi mengenainya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Myanmar Airways International (MAI) Tanes Kumar berkata syarikat penerbangan itu berhasrat untuk meningkatkan kekerapan penerbangan terus Pulau Pinang-Yangon daripada tiga kepada empat kali seminggu pada suku pertama 2027 bagi memperluas rangkaian antarabangsanya.

Beliau berkata ia sebahagian daripada usaha syarikat penerbangan berkenaan untuk memperkukuh hubungan udara antara Pulau Pinang dengan Myanmar, dengan Yangon terus berperanan sebagai hab utamanya bagi penumpang yang ingin ke bandar lain di negara itu.

“MAI mengendalikan penerbangan dari Yangon ke 21 bandar di Myanmar, termasuk Mandalay, sekali gus membolehkan penumpang dari Pulau Pinang meneruskan perjalanan ke pelbagai destinasi domestik melalui hab berkenaan,” katanya.

Tanes Kumar berkata syarikat penerbangan itu turut menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pesawatnya daripada 14 kepada 20 menjelang akhir tahun ini bagi menyokong peluasan operasi, dengan penambahan enam pesawat itu merangkumi lima pesawat penumpang dan sebuah pesawat kargo, termasuk pesawat turboprop ATR yang diterima minggu lepas serta sebuah lagi yang dijadualkan tiba minggu pertama Disember.

Beliau berkata laluan penerbangan terus Yangon-Pulau Pinang berpotensi memperluas pasaran pelancongan antarabangsa Pulau Pinang, dengan warga Myanmar dan warga asing lain merangkumi 96 peratus daripada keseluruhan 15,885 penumpang yang dibawa.

“MAI telah mengendalikan 140 penerbangan antara Yangon dengan Pulau Pinang sejak laluan terus itu dilancarkan pada 10 April 2025 hingga 31 Julai lepas,” katanya.

-- BERNAMA