KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kepelbagaian sumber import bahan mentah baja dan peningkatan pengeluaran beras domestik antara langkah penting untuk memperkukuh sekuriti makanan negara menerusi Belanjawan 2027.
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Muhammad Faris Arriffin berkata pihaknya sedang mempelbagaikan sumber import bahan mentah baja NPK (Nitrogen, Fosforus dan Kalium) bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan susulan ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah.
Beliau berkata langkah itu penting kerana sumber fosforus dan kalium ketika ini banyak bergantung pada negara Timur Tengah dan China, manakala pendekatan penstokan penimbal turut digunakan untuk mengurus risiko bekalan, meskipun harga baja global masih dipengaruhi faktor luaran di luar kawalan NAFAS.
“Supaya, walaupun apa yang berlaku negara masih lagi dapat mengekalkan sumber bahan mentah untuk menghasilkan baja NPK bagi diberikan kepada pesawah,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Faris berkata NAFAS menguruskan pembekalan input pertanian di bawah skim kerajaan yang meliputi kira-kira 600,000 hektar kawasan penanaman padi di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan Industri) Fakulti Perladangan dan Agroteknologi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin Prof Madya Dr Fazleen Abdul Fatah berkata peningkatan pengeluaran beras domestik perlu diberi keutamaan, memandangkan kadar sara diri (SSR) beras negara pada 2025 ialah 54.3 peratus.
Beliau berkata RM2.62 bilion atau hampir 38 peratus daripada peruntukan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) disalurkan kepada pesawah, manakala RM2.07 bilion atau 30 peratus diperuntukkan bagi pembangunan, termasuk sistem pengairan, infrastruktur dan jalan ladang untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran makanan dalam jangka panjang.
Fazleen berkata peruntukan RM300 juta menerusi Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) menyokong pembangunan projek agromakanan melalui kerjasama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berdasarkan potensi sumber serta keperluan setiap kawasan.
Antara projek berkenaan ialah pengeluaran benih ikan di Sarawak yang dilaporkan mampu menghasilkan 7.2 juta benih setahun dan memberi manfaat kepada lebih 200 penternak kecil, serta projek pengeluaran susu di Mersing, Johor yang menyasarkan sumbangan 50 peratus kepada pengeluaran susu negeri itu menjelang 2030.
Beliau berkata penggunaan teknologi pertanian moden, latihan, penglibatan golongan muda dan akses kepada pembiayaan melalui Agrobank, Bank Rakyat serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) penting untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos pengeluaran dan memperkukuh daya saing sektor agromakanan.
-- BERNAMA