Am 14/10/2026 02:48 PM

Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI Dijangka Bermula Suku Pertama 2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI Dijangka Bermula Suku Pertama 2027

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) yang bertujuan memperkukuh kesalinghubungan rangkaian komunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dijangka bermula pada suku pertama 2027 dan siap pada suku keempat 2029.

Kementerian Komunikasi dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang menjalankan proses penilaian selepas dokumen pelawaan bagi pelaksanaan projek itu disiarkan.

“Projek ini melibatkan pembangunan sistem kabel dasar laut domestik baharu berkapasiti tinggi, berdaya tahan serta mempunyai kepelbagaian laluan rangkaian dan keupayaan sandaran bagi memperkukuh ketahanan infrastruktur komunikasi negara,” menurut kementerian itu. 

Kementerian Komunikasi menjawab soalan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) mengenai status semasa inisiatif SALAM di Sabah serta kawasan di negeri itu yang dikenal pasti bagi menjayakan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2.    

Mengenai Projek JENDELA 2, kementerian itu memaklumkan MCMC kini dalam proses pelaksanaan bagi Kumpulan 1 yang dijangka bermula November 2026 melibatkan 1,000 tapak di seluruh negara termasuk 352 di Sabah.

Pelaksanaan itu bertujuan memperluas liputan Internet melalui perkhidmatan selular awam 4G atau gabungan 4G dan 5G, serta jalur lebar satelit berdasarkan pendekatan fit-for-purpose.

Daripada 352 tapak di Sabah, kawasan Parlimen Kinabatangan mencatatkan jumlah tapak tertinggi, iaitu 106 tapak, diikuti Pensiangan (55), Kota Marudu (36), Kalabakan (29), Kudat (26), Tuaran (23), Penampang (15) dan Ranau (15).

Kawasan lain ialah Sipitang (13), Kimanis (12), Sepanggar (enam), Papar (lima), Batu Sapi (empat), Beaufort (tiga), Tawau (tiga) dan Putatan (satu).

“Kerajaan melalui MCMC akan terus menilai keperluan semasa bagi mempertimbangkan peluasan pelaksanaan ke kawasan lain di Sabah termasuk di Parlimen Putatan, tertakluk kepada keutamaan dan ketersediaan peruntukan,” menurut kementerian itu.

-- BERNAMA