Am 14/10/2026 03:53 PM

Penjawat Awam Nikmati Diskaun 20 Peratus Langganan Pandapro

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penjawat Awam Nikmati Diskaun 20 Peratus Langganan Pandapro
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (dua, kanan) menerima replika cek inisiatif Rebat Rahmah Penjawat Awam sebanyak 20 peratus daripada Pengarah Urusan Foodpanda Kenneth Soh (dua, kiri) pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bagi Oktober 2026 hari ini. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah (kiri) dan Setiausaha Bahagian Kawalan dan Pematuhan Kementerian Komunikasi Kamarudin Abdul Rani (kanan).

PUTRAJAYA, 14 Okt (Bernama) -- Penjawat awam boleh menikmati diskaun 20 peratus bagi pelan langganan keahlian pandapro selama 12 bulan menerusi Insentif Rebat RAHMAH pandapro Penjawat Awam 2026 yang dilancarkan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini.

Kementerian Komunikasi menerusi kenyataan memaklumkan inisiatif hasil kerjasama strategik kementerian itu dan platform penghantaran makanan foodpanda bertujuan menyokong pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) bagi warga perkhidmatan awam.

Tawaran khas itu terbuka kepada penjawat awam yang mempunyai alamat e-mel rasmi kerajaan (@xxx.gov.my) dan diharapkan membantu mengurangkan beban kos sara hidup mereka dalam menjalani rutin kerja harian. 

“Insentif itu boleh ditebus menerusi aplikasi foodpanda dari 14 Okt hingga 31 Dis 2026,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Komunikasi berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dengan kerjasama sektor swasta dalam menjaga kebajikan dan menghargai sumbangan penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara.

Maklumat lanjut dan panduan penebusan boleh dirujuk menerusi dokumen Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi serta saluran media sosial Kementerian Komunikasi.

Terdahulu, Fahmi melancarkan Insentif Rebat RAHMAH pandapro Penjawat Awam 2026 di sini sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Oktober 2026.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

-- BERNAMA