Am 14/10/2026 03:36 PM

KPDN Kedah Rampas 8,190 Liter Diesel Tanpa Dokumen Sah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KPDN Kedah Rampas 8,190 Liter Diesel Tanpa Dokumen Sah
Kredit: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah

ALOR SETAR, 14 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas 8,190 liter minyak diesel disyaki tanpa dokumen sah selepas menahan sebuah lori dalam satu operasi di Kuala Kedah, semalam.

KPDN Kedah dalam kenyataan memaklumkan operasi penguatkuasaan yang  dijalankan bersama-sama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu pada 11.45 pagi itu, merampas minyak diesel bernilai RM39,148 dan sebuah lori jenis HINO bernilai RM50,000, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM89,148.

“Pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa kira-kira 8,190 liter cecair disyaki minyak diesel, namun pemandunya gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan bekalan berkenaan.

“Susulan itu, pemeriksaan lanjut dijalankan di sebuah premis perniagaan di Kuala Kedah dan mendapati pemilik premis disyaki gagal mematuhi syarat lesen barang kawalan, khususnya berkaitan kewajipan menyelenggara buku stok barang kawalan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, dua tindakan kes diambil mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan  siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan. 

KPDN Kedah memaklumkan pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan serta memastikan bekalan bersubsidi tidak disalahgunakan.

-- BERNAMA