ALOR SETAR, 14 Okt (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan lanjut berhubung insiden renjatan elektrik yang melibatkan tiga orang awam ketika berlangsungnya perarakan keagamaan di sini, malam tadi.
TNB dalam hantaran di akaun Facebook TNB Careline memaklumkan berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku apabila tiang bendera yang dibawa semasa perarakan itu menghampiri talian penghantaran elektrik voltan tinggi sehingga menyebabkan berlakunya percikan arka elektrik.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan memastikan sebarang objek tinggi, termasuk tiang bendera, berada pada jarak selamat daripada talian elektrik.
“TNB sangat bersimpati atas insiden berkenaan dan kami mendoakan agar semua mangsa yang sedang menerima rawatan diberikan kesembuhan segera,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, media melaporkan tiga remaja lelaki cedera akibat terkena renjatan elektrik selepas bendera yang dibawa semasa perarakan tokong sayur di Mergong, dekat sini, malam tadi dipercayai terkena talian pencawang elektrik bervoltan tinggi.
Kejadian kira-kira 9 malam itu berlaku apabila bendera yang dibawa ditiup angin kencang ketika hujan rintik sebelum disyaki terkena pada talian elektrik.
Insiden itu mengakibatkan dua mangsa berusia 17 tahun dan seorang berusia 16 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
-- BERNAMA