KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Peningkatan pemberian khas interim kepada Sabah dan Sarawak serta peruntukan pembangunan yang lebih besar membuka ruang untuk memperkukuh pembangunan kedua-dua negeri itu, dengan Ahli Parlimen berharap usaha berkenaan disusuli dengan pemuktamadan formula pemberian khas dan pelaksanaan projek yang lebih berkesan.
Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini berkata kenaikan kadar pemberian khas interim bagi kedua-dua negeri itu daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion menerusi Belanjawan 2027 wajar dihargai.
Bagaimanapun, beliau berharap Kerajaan Persekutuan menyegerakan penggubalan formula muktamad yang telus, objektif dan mampan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan serta selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) pula meminta kerajaan menjelaskan status terkini rundingan formula pemberian hak Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh Kerajaan Persekutuan dari negeri itu.
“Perkara ini bukan sekadar soal tambahan peruntukan, tetapi melibatkan tanggungjawab perlembagaan dan hubungan fiskal antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sabah.
“Sehubungan dengan itu, saya meminta kerajaan menjelaskan status terkini rundingan formula 40 peratus, kaedah pengesahan hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah serta garis masa yang disasarkan untuk mencapai penyelesaian bersama dengan kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, Datuk Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) mencadangkan supaya baki peruntukan pembangunan Sabah yang tidak dibelanjakan dapat dibawa ke tahun berikutnya menerusi pewujudan Akaun Amanah Hadapan.
Beliau berkata mekanisme itu dapat memastikan peruntukan yang telah diluluskan terus dimanfaatkan, khususnya apabila pelaksanaan projek berdepan kekangan birokrasi, teknikal atau isu lain yang menyebabkan kelewatan.
Wetrom berkata Sabah menerima peruntukan sebanyak RM18.7 bilion bagi 2027, meningkat RM1.1 bilion berbanding tahun sebelumnya, namun kegagalan menggunakan keseluruhan peruntukan itu merugikan negeri yang masih memerlukan pembangunan infrastruktur asas.
Senada dengan Wetrom, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (GRS-Tuaran) meminta Kerajaan Persekutuan menghentikan budaya pengumuman projek pembangunan yang akhirnya tertangguh dan menjadi projek sakit, selain memastikan peruntukan pembangunan Sabah benar-benar dibelanjakan serta dimanfaatkan rakyat.
Beliau meminta kerajaan memperincikan jumlah peruntukan pembangunan Sabah bagi 2026 yang telah disalurkan dan dibelanjakan, termasuk nilai projek di bawah pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah serta jumlah projek sakit di negeri itu yang dikendalikan JKR Sabah dan JKR Persekutuan.
Madius turut mencadangkan lima langkah penambahbaikan, antaranya memastikan urusan tanah, kelulusan dan utiliti diselesaikan sebelum projek dimulakan, selain mendedahkan kemajuan fizikal, perbelanjaan sebenar, tarikh siap serta setiap lanjutan masa projek kepada umum.
“Selain itu, projek sakit juga perlu mempunyai pelan pemulihan dan tindakan susulan, manakala lanjutan masa kali kedua akibat kelemahan kontraktor wajar melalui semakan bebas termasuk pertimbangan penamatan kontrak mengikut undang-undang, selain memperkasakan JKR Sabah sebagai agensi teknikal bagi projek Persekutuan bernilai RM50 juta ke bawah,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA