iCents Group Raih Tiga Kontrak Bernilai RM85.69 Juta
KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- iCents Group Holdings Bhd menerusi anak syarikatnya VC Engineering Sdn Bhd dan Maytech Cleanroom Manufacturing Sdn Bhd memperoleh tiga kontrak bernilai keseluruhan RM85.69 juta dalam sektor pusat data dan semikonduktor.
Dalam satu kenyataan hari ini, menurut penyedia perkhidmatan kejuruteraan bilik bersih dan penyelesaian fasiliti itu, VC Engineering memperoleh kontrak bernilai RM65.12 juta daripada sebuah syarikat pembinaan tempatan.
Syarikat itu memaklumkan, kontrak berkenaan bagi kerja-kerja pembekalan, pemasangan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan sistem penyaman udara dan pengudaraan mekanikal untuk projek pusat data.
“Projek itu dijangka siap pada Januari 2028,” jelasnya.
Selain itu, iCents Group memberitahu, VC Engineering serta Maytech turut memperoleh dua kontrak bernilai keseluruhan RM20.57 juta bagi projek di Selangor dan Indonesia.
“VC Engineering memperoleh kontrak daripada anak syarikat Malaysia milik sebuah syarikat teknologi semikonduktor berpangkalan di Amerika Syarikat bagi kerja-kerja mekanikal, utiliti dan elektrikal di sebuah kemudahan pemprosesan wafer semikonduktor di Selangor yang dijadualkan siap pada Jun 2027.
“Sementara itu, Maytech memperoleh kontrak daripada sebuah syarikat pembinaan berpangkalan di Indonesia bagi kerja-kerja mereka bentuk, membekal dan menghantar sistem siling tugas berat untuk projek pusat data di Indonesia yang dijangka siap pada Februari 2027,” jelasnya.
-- BERNAMA