Emits Bhd Yang Bakal Disenaraikan Di Pasaran ACE Catat Lebihan Langganan 6.4 Kali

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) Emits Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE mencatat lebihan langganan sebanyak 6.4 kali menjelang penyenaraiannya pada 1 Dis, 2026.

Syarikat itu dijangka memperoleh hasil kasar sebanyak RM15.0 juta daripada pelaksanaan IPO berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, penyedia perkhidmatan pembuatan antena itu menyatakan IPO tersebut melibatkan terbitan 93.75 juta saham biasa baharu pada harga 16 sen sesaham mewakili 20 peratus daripada modal saham terbitan kumpulan yang diperbesarkan selepas IPO.

Ad Banner

Selain itu, IPO itu turut melibatkan tawaran jualan sebanyak 37.50 juta saham sedia ada mewakili lapan peratus daripada modal saham terbitan kumpulan yang diperbesarkan selepas IPO, melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.

Bagi bahagian tawaran kepada orang awam Malaysia sebanyak 23.43 juta saham, Emits menerima 3,974 permohonan bagi 174.05 juta saham bernilai RM27.8 juta mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 6.4 kali.

Daripada jumlah itu, bahagian bumiputera menerima 1,937 permohonan bagi 94.22 juta saham dengan kadar lebihan langganan sebanyak 7.0 kali manakala baki bahagian awam menerima 2,037 permohonan bagi 79.83 juta saham dengan kadar lebihan langganan sebanyak 5.8 kali.

Ad Banner
Ad Banner

“Sebanyak 11.71 juta saham terbitan yang ditawarkan untuk permohonan oleh pengarah dan kakitangan kumpulan yang layak serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan telah dilanggan sepenuhnya.

“Sebanyak 58.59 juta saham terbitan dan 37.50 juta saham tawaran yang diperuntukkan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih telah berjaya ditempatkan sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.

Peruntukan dan pemindahan saham IPO kepada pemohon yang berjaya dijadualkan pada 30 Nov, 2026.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Loy Boon Liang berkata keupayaan syarikat dalam reka bentuk dan pembuatan frekuensi radio (RF) ditambah dengan hubungan kukuh yang telah terjalin dengan pelanggan, menjadi asas yang kukuh bagi fasa pertumbuhan seterusnya.

“Dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian antena yang lebih canggih merentasi pelbagai industri, kami melihat peluang untuk memperluas penawaran produk dan memenuhi keperluan aplikasi yang lebih pelbagai,” katanya.

Daripada hasil IPO sebanyak RM15.0 juta, sebanyak RM6.8 juta atau 45.3 peratus diperuntukkan bagi modal kerja termasuk RM6.0 juta untuk menyokong projek baharu, khususnya projek antena stesen pangkalan 5G syarikat.

Sebanyak RM4.0 juta lagi atau 26.7 peratus akan digunakan untuk membeli mesin serta peralatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) manakala baki RM4.2 juta atau 28.0 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan penyenaraian.

Emits dijangka mencatatkan permodalan pasaran sebanyak RM75.0 juta selepas disenaraikan berdasarkan harga IPO sebanyak 16 sen sesaham dan modal saham terbitannya yang diperbesarkan sebanyak 468.769 juta saham.

Mercury Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.

-- BERNAMA