Pelaburan RM200 Juta Kilang Penapisan Minyak Sawit Perkukuh Industri Hiliran Sawit Kelantan

KOTA BHARU, 23 Nov (Bernama) -- Pembukaan kilang penapisan minyak sawit baharu bernilai RM200 juta di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II di sini, dijangka memperkukuh industri hiliran sawit serta merancakkan sektor pembuatan di Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pembangunan kilang yang dikendalikan Liquid Palm Edible Oils Sdn Bhd (LPEO), syarikat di bawah Kumpulan iKHASAS, mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap potensi negeri itu, sebagai destinasi pelaburan industri.

Beliau berkata pelaburan keseluruhan RM200 juta tersebut merangkumi pembangunan dan naik taraf kemudahan perindustrian serta komponen sokongan lain, sekali gus membuka peluang kepada perkembangan aktiviti ekonomi berkaitan industri sawit.

Ad Banner

Mohamed Fadzli berkata kilang berkenaan mempunyai kapasiti memproses 17,000 tan metrik minyak sawit mentah sebulan, yang berperanan menyokong perkembangan industri hiliran sawit di Kelantan.

“Operasi LPEO juga menyumbang kepada kira-kira 200 peluang pekerjaan secara langsung di kilang, selain mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor sokongan termasuk logistik, pengangkutan dan penyelenggaraan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Kilang Memproses Minyak LPEO di sini hari ini.

Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri akan terus mengalu-alukan pelaburan berkualiti dan berdaya saing, yang berupaya mempelbagaikan kegiatan ekonomi serta memberikan manfaat jangka panjang kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Ad Banner
Ad Banner

-- BERNAMA