​​​​​​​SCGM Selesaikan Pelan Regularisasi, Eramas Group Sertai Pasaran Utama

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- SCGM Bhd hari ini menyelesaikan pelan regularisasinya susulan penyenaraian dan sebut harga 569.70 juta saham baharu di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Saham berkenaan diterbitkan sebagai balasan bagi pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Eramas Global Group Sdn Bhd, sebuah syarikat yang kegiatan utamanya merangkumi pembuatan, perdagangan, pengedaran dan pemasaran produk makanan untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Eramas Global Group kini menjadi anak syarikat milik penuh SCGM.

Ad Banner

SCGM memaklumkan balasan pembelian berjumlah RM207.94 juta itu diselesaikan sepenuhnya melalui penerbitan saham baharu SCGM.

“Jumlah saham terbitan SCGM kini meningkat kepada 762.26 juta saham, memberikan permodalan pasaran tersirat kira-kira RM278.2 juta berdasarkan harga terbitan.

“Saham balasan yang dipegang oleh penjual tertakluk kepada moratorium selama enam bulan bermula hari ini,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Susulan penyelesaian pelan regularisasi itu, SCGM kini mempunyai perniagaan teras baharu dan tidak lagi diklasifikasikan sebagai Syarikat Tunai menurut Perenggan 8.03 dan Nota Amalan 16 Keperluan Penyenaraian.

“Sebagai sebahagian daripada pelan regularisasi itu, SCGM membayar dividen khas sebanyak 25 sen sesaham kepada pemegang saham, berjumlah kira-kira RM48.14 juta. Selepas pembayaran itu, baki tunai dan bank SCGM berjumlah RM67.96 juta,” menurut kenyataan itu.

SCGM memaklumkan Eramas Group merancang memperuntukkan RM55.10 juta, atau 81.1 peratus daripada baki tunai SCGM, untuk memperluas kilangnya di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan, yang dijadualkan siap tahun depan.

Peruntukan itu akan digunakan bagi pemasangan sistem pengeringan semburan baharu, peluasan kilang, pemasangan sistem rak penyimpanan baharu serta mesin pembungkusan.

Kumpulan itu turut memperuntukkan RM10.04 juta bagi modal kerja dan RM1.50 juta untuk papan iklan jenama makanan Emma di jalan raya utama dan lebuh raya di seluruh Semenanjung Malaysia. Baki RM1.32 juta pula diperuntukkan bagi menjelaskan perbelanjaan tertunggak berkaitan pelan regularisasi itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Yan Hua Lan berkata, mesin pengering semburan baharu itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran serbuk kumpulan berkenaan kepada kira-kira dua kali ganda, selain memperluas rangkaian produk bernilai tambah tinggi menerusi penghasilan serbuk dengan kandungan lemak lebih tinggi.

“Produk Emma kini dijual di lebih 4,000 premis di Malaysia dan kami akan terus memperkukuh jenama itu.

“Penyenaraian kami di Bursa Malaysia merupakan pencapaian penting bagi kumpulan. Ia meningkatkan kredibiliti serta mengukuhkan keyakinan pelanggan, pembekal dan pekerja terhadap kami,” katanya.

Berjaya Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama bagi pelan regularisasi itu.

-- BERNAMA