MITI Gesa Pengilang Tempatan Tingkatkan Rantaian Nilai, Guna Teknologi Canggih

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Pengilang tempatan digesa untuk beralih kepada pembuatan yang lebih kompleks serta rangkaian produk lebih canggih bagi menjana nilai tambah lebih besar yang dapat memperkukuh daya saing jangka panjang mereka.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata penggunaan automasi, robotik canggih dan pendigitalan menyeluruh perlu dipercepatkan untuk membantu meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi dalam seluruh barisan pengeluaran.

“Saya menggesa pemain tempatan untuk memanfaatkan pelbagai bentuk bantuan kewangan, program peningkatan kapasiti dan insentif cukai yang disediakan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta agensinya bagi menyokong peralihan yang dipacu oleh teknologi ini.

Ad Banner

“Pada masa yang sama, penting untuk menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus ke dalam strategi operasi teras memandangkan rantaian bekalan global kini semakin memberi penekanan kepada metrik kelestarian,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran awal memperkenalkan Ekspo Rantaian Bekalan Pembuatan 2027 (MSCX 2027), di sini, hari ini.

Sementara itu Sim memuji penganjuran ekspo tersebut yang memberi penekanan terhadap teknologi baharu sedang muncul serta kerjasama pelbagai pihak berkepentingan dan yakin ia berpotensi menjadi antara pameran rantaian bekalan utama dan terkemuka di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Beliau berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) komited untuk menjadikan MSCX  sebagai acara utama kedua selepas Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS).

Ad Banner
Ad Banner

“Ia akan mengambil masa, namun saya amat yakin MATRADE mampu menjadikannya sebagai satu lagi acara utama, memandangkan sektor pembuatan dan rantaian bekalan kita di Malaysia kini meraih pencapaian yang belum pernah dicapai sebelum ini,” katanya. 

Sim turut berkata ekspo tersebut diadakan tepat pada masanya bagi memperkukuh daya tahan perindustrian Malaysia di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan global dan ketidakpastian geopolitik yang berterusan.

Presiden Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Jacob Lee berkata keupayaan sektor pembuatan Malaysia dan ASEAN akan menjadi teras kepada ekspo tersebut, sekali gus meletakkan MSCX sebagai platform bagi pengilang serantau untuk mempamerkan kekuatan masing-masing serta menyediakan peluang kepada pembeli mengenal pasti pemerolehan yang boleh memenuhi keperluan mereka.

“Dalam kalangan negara ASEAN, kita bersaing untuk mendapatkan peluang perniagaan, namun kita juga mempunyai kekuatan yang saling melengkapi. Pengilang boleh menggabungkan kepakarannya dengan bahan, komponen, atau keupayaan pengeluaran daripada rakan serantau bagi menawarkan penyelesaian yang lebih lengkap kepada pelanggan.

“MSCX akan mengetengahkan peluang ini  sekali gus membantu perniagaan menyertai rangkaian pengeluaran serantau dan membangunkan perkongsian yang memperluas skop penawaran mereka,” katanya.

FMM merupakan penganjur utama MSCX 2027 dengan MATRADE dan Aerosea Exhibitions Sdn Bhd bertindak sebagai penganjur bersama dan rakan strategik. Ekspo tersebut juga akan diadakan serentak dengan CyberDSA dan DronTech Asia 2027.

Ekspo tersebut yang bertemakan “Menghubungkan Ekosistem Pembuatan. Memperkukuh Rantaian Bekalan ASEAN” dijadual diadakan pada 19-21 Okt 2027 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pameran perdagangan antarabangsa itu akan menampilkan tujuh sektor pembuatan, termasuk elektrik dan elektronik, semikonduktor, jentera, serta kejuruteraan jitu.

Acara itu dijangka menarik 5,000 pengunjung perdagangan dan menampilkan lebih 500 pempamer daripada tujuh sektor industri utama yang bakal mempamerkan rantaian bekalan saling berkait yang menjadi tunjang kepada keupayaan perindustrian Malaysia dan ASEAN.

-- BERNAMA