Maybank Catat Untung Bersih Suku Ketiga Lebih Tinggi Kepada RM2.74 Bilion

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi kepada RM2.74 bilion bagi suku ketiga (S3) berakhir 30 Sept, 2026 daripada RM2.62 bilion pada suku sama tahun lepas.

Keputusan yang lebih baik itu disokong oleh kerugian rosot nilai yang lebih rendah, selain prestasi lebih kukuh daripada perniagaan perbankan Islam dan perkhidmatan insurans/takaful kumpulan berkenaan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Maybank memaklumkan hasil bagaimanapun merosot kepada RM14.56 bilion daripada RM16.60 bilion sebelum ini.

Ad Banner

“Peruntukan bersih kumpulan bagi kerugian rosot nilai ke atas pinjaman, pendahuluan, pembiayaan dan hutang-hutang lain berkurangan RM80.6 juta kepada RM232.8 juta berbanding suku sebelumnya yang berakhir 30 Jun, 2026.

“Keuntungan selepas cukai dan zakat kumpulan yang boleh diagihkan kepada pemegang ekuiti bagi suku berakhir 30 Sept, 2026 meningkat RM54.3 juta kepada RM2.74 bilion berbanding RM2.690 bilion pada suku sebelumnya yang berakhir 30 Jun, 2026,” menurutnya.

Bank itu turut memaklumkan, masuk kira semula bersih bagi kerugian rosot nilai ke atas pelaburan kewangan kumpulan berkurangan sebanyak RM21.7 juta kepada RM40.7 juta berbanding suku sebelumnya yang berakhir 30 Jun, 2026, di samping prestasi perbankan Islam dan takaful.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept, 2026, keuntungan bersih Maybank meningkat kepada RM7.91 bilion daripada RM7.83 bilion, manakala hasil merosot kepada RM45.55 bilion daripada RM50.55 bilion sebelum ini.

Mengenai prospek, Maybank memaklumkan bahawa dengan berteraskan strategi ROAR30, kumpulan itu akan terus memperkukuh perniagaan terasnya di pasaran domestik sambil menyepadukan lagi jejak serantaunya bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan di seluruh rantau.

“Keutamaan pertumbuhan kumpulan kekal tertumpu kepada pengembangan perniagaan serantau yang boleh diperluas dalam bidang kewangan Islam, pengurusan kekayaan, transaksi dan pembayaran serta perbankan korporat dan pelaburan,” tambahnya.

Pada masa sama, kumpulan itu memaklumkan ia akan memperkukuh asas perniagaannya melalui pelaburan dalam teknologi, data dan kecerdasan buatan, di samping meningkatkan keupayaan tenaga kerja dan memacu produktiviti dan kecekapan modal.

Kumpulan akan kekal optimis tetapi secara berhati-hati dalam menilai prospek dan mengimbangi pertumbuhan yang bertanggungjawab dengan pengurusan kualiti aset, modal dan mudah tunai secara berhemat.

Walaupun prospek pertumbuhan ASEAN kekal berdaya tahan, tetapi persekitaran operasi terus dipengaruhi oleh perkembangan geopolitik yang sentiasa berubah, pertumbuhan ekonomi global yang tidak sekata serta ketidaktentuan pasaran kewangan.

Maybank menambah ia kekal berwaspada dan berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi keadaan yang berubah itu.

-- BERNAMA=