Wasco Bakal Lupus Bahagian Kejuruteraan Dan Fabrikasi Kepada NMDC Energy Pada Harga RM782.2 Juta

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Wasco Bhd telah mencadangkan untuk melupuskan bahagian kejuruteraan dan fabrikasi (EFD) kepada NMDC Energy PJSC (NMDC Energy) pada harga US$192.8 juta (RM782.2 juta) secara tunai.

Wasco memaklumkan bahawa cadangan urus niaga tersebut, berdasarkan nilai perusahaan sebanyak US$210.0 juta (RM851.9 juta), menandakan penyusunan semula portfolio kumpulan yang signifikan sekali gus merealisasikan nilai yang telah dibina dalam segmen kejuruteraan dan fabrikasi selama bertahun-tahun.

Menurut syarikat itu, perkhidmatan saluran paip akan terus menjadi bahagian penting dalam operasi Wasco, manakala cabang biotenaga, Wasco Greenergy telah disenaraikan secara berasingan tahun lepas akan terus memacu pertumbuhan tersendiri sebagai entiti tersenarai yang bebas.

Ad Banner

“Urus niaga ini mencerminkan kekuatan dan kualiti perniagaan EFD serta menyediakan peluang menarik untuk merealisasikan nilainya bagi para pemegang saham kami pada penilaian yang sangat berbaloi.

“Ia membolehkan Wasco menyalurkan semula modal kepada peluang-peluang yang mampu menjana pulangan jangka panjang mampan dan berulang untuk kumpulan,” kata Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gian Carlo Maccagno.

Wasco memaklumkan bahawa cadangan urus niaga tersebut dijangka menghasilkan anggaran keuntungan pelupusan sebanyak kira-kira RM340.3 juta.

Ad Banner
Ad Banner

Kumpulan itu berhasrat untuk mengembalikan sebahagian daripada hasil urus niaga berkenaan kepada para pemegang saham melalui dividen khas indikatif sebanyak 30.0 sen sesaham, membolehkan pemegang saham menikmati secara langsung nilai direalisasikan melalui transaksi berkenaan sebagai pengiktirafan terhadap sokongan berterusan mereka kepada kumpulan.

“Baki dana tersebut dijangka digunakan untuk aktiviti penggabungan dan pengambilalihan strategik yang menyokong peralihan kumpulan ke arah profil pendapatan yang mampan dan berulang serta untuk menampung kos urus niaga, modal kerja, dan tujuan korporat am,” menurut kenyataan itu.

Sehingga urus niaga selesai, Wasco menyatakan bahawa perniagaan EFD akan terus beroperasi seperti biasa.

Kumpulan itu akan bekerjasama rapat dengan NMDC Energy sepanjang tempoh peralihan bagi memastikan kesinambungan bagi pekerja, pelanggan dan operasi semasa bahagian tersebut.

Menurut Wasco, syarikat itu juga berhasrat untuk meneroka peluang penggabungan dan pengambilalihan yang dapat membina profil pendapatan yang mampan dan berulang bagi kumpulan, beralih daripada model pendapatan berasaskan projek yang menjadi ciri perniagaannya selama ini.

Syarikat itu akan kekal selektif dalam peruntukan modal, dengan memberi penekanan kepada peluang-peluang yang menyokong peralihan ini, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA