PKS Jana Eksport RM63.60 Bilion, Sokong Lebih 383,000 Peluang Pekerjaan - MATRADE

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Sebanyak 7,434 ahli perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjana eksport bernilai RM63.60 bilion secara kolektif, merekodkan lebihan dagangan sebanyak RM12.04 bilion dan menyokong lebih 383,000 peluang pekerjaan.

Menurut MATRADE dalam kenyataan hari ini, sebanyak 7,211 daripada jumlah PKS tersebut menyumbang RM57.29 bilion dalam eksport barangan bukan elektrik dan elektronik, mewakili kira-kira 90 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport PKS.

Sumbangan tersebut merangkumi pelbagai sektor termasuk barangan makanan diproses, kimia dan bahan kimia, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam dan barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.

Ad Banner

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, jumlah eksport melonjak sebanyak 37.1 peratus tahun ke tahun mencecah RM1.811 trilion, sekali gus merekodkan pertumbuhan paling pantas bagi tempoh ini sejak 1990.

Lonjakan eksport yang memberangsangkan ini telah menyumbang kepada peningkatan ketara lebihan dagangan Malaysia kepada RM274.81 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Indera Abu Bakar Yusof berkata pencapaian eksport yang melakar sejarah ini membuktikan bahawa pemain industri Malaysia berada dalam rantaian nilai global tetapi misi utama kini adalah mempertingkat peranan PKS secara agresif dalam pasaran eksport.

Ad Banner
Ad Banner

“Pencapaian lebih 7,400 PKS di bawah bimbingan MATRADE yang menjana eksport sebanyak RM63.60 bilion ini jelas membuktikan keberkesanan intervensi strategik yang dilaksanakan MATRADE secara berterusan menerajui penyertaan Malaysia dalam pameran perdagangan antarabangsa ikonik untuk memperoleh kontrak global bernilai tinggi.

“Ini termasuk melaksana program pembinaan kapasiti melalui Akademi MATRADE bagi memastikan daya tahan eksport PKS terjamin dalam jangka masa panjang,” katanya.

MATRADE memaklumkan pihaknya sedang melaksana pelarasan strategik inisiatif sejajar dengan Pelan Hala Tuju 2026, sasaran progresif Belanjawan 2027 serta Rancangan Malaysia Ke-13.

“Disokong oleh peruntukan baharu yang dikhususkan untuk eksport PMKS, kami sedang memperkasakan perusahaan tempatan untuk bersaing pada peringkat antarabangsa melalui pembinaan kapasiti yang kritikal serta pematuhan ketat terhadap piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” menurutnya.

Bagi mengekalkan momentum ini dalam mendepani ketidaktentuan global, katanya MATRADE akan terus memperkukuh strategi kepelbagaian pasaran dengan memperluas penglibatan di pasaran pesat membangun serta mempromosikan produk bernilai tambah tinggi.

“Pelarasan proaktif ini amat penting untuk meluaskan asas eksport Malaysia, mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional, sekali gus memperkukuh daya tahan perdagangan bagi jangka masa panjang,” menurutnya.

-- BERNAMA