Kutipan Hasil Cukai GMT Hanya Diperoleh Selepas Jun 2027 - Timbalan Menteri

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) — Kutipan hasil cukai di bawah Cukai Minimum Global atau Global Minimum Tax (GMT) hanya akan diperoleh selepas Jun 2027, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong. 

Beliau berkata tempoh kutipan hasil cukai itu bergantung kepada pelaporan kewangan kumpulan syarikat multinasional, tertakluk kepada pembayaran cukai tokokan.

“Ini memandangkan tarikh akhir pengemukaan dan pembayaran cukai adalah 18 bulan selepas tamat tempoh Penyata Kewangan Disatukan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Ad Banner

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai jumlah cukai minimum global dikutip sejak ia dilaksanakan pada 2025 dan adakah cukai ke atas perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan dikurangkan kepada 15 peratus agar disamaratakan tanpa merugikan syarikat tempatan berbanding dengan syarikat antarabangsa.

Liew berkata Malaysia telah melaksanakan GMT berkuat kuasa mulai 1 Januari, 2025, selaras dengan komitmen di bawah rangka kerja Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) Base Erosion and Profit Shifting (BEPS).

“Pelaksanaan GMT dijangka memberi impak positif kepada kedudukan kewangan negara,” katanya. 

Ad Banner
Ad Banner

GMT merupakan inisiatif percukaian antarabangsa diperkenalkan OECD bersama negara-negara anggota G20 bagi memastikan kumpulan syarikat multinasional besar yang memenuhi ambang hasil pendapatan global berjumlah EUR 750 juta setahun membayar cukai pada kadar efektif minimum 15 peratus di setiap negara mereka beroperasi. 

Pada Oktober, 2021, lebih 135 negara dan bidang kuasa telah mencapai persetujuan untuk memperkenalkan GMT di bawah rangka kerja OECD Inclusive Framework on BEPS.

Pelaksanaan GMT bermula secara berperingkat di peringkat antarabangsa pada 2024 dan sehingga Oktober, 2026, kira-kira 65 negara dan bidang kuasa telah melaksanakan peraturan GMT. 

Berhubung cukai pendapatan PMKS, beliau berkata kerajaan melalui Belanjawan 2027 telah mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan bagi PMKS sebanyak satu mata peratusan berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2027.

“Bagi pendapatan bercukai RM150,000 yang pertama, kadar cukai dikurangkan daripada 15 peratus kepada 14 peratus, manakala bagi pendapatan bercukai RM150,001 hingga RM600,000, kadar cukai dikurangkan daripada 17 peratus kepada 16 peratus.  

“Pengurangan kadar cukai ini dijangka memberi penjimatan cukai sehingga RM6,000 kepada PMKS, membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan, yang akhirnya dapat membantu meningkatkan aliran tunai syarikat,” katanya. 

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Lim mengenai tax holiday (cuti percukaian) atau insentif cukai kepada syarikat asing sehingga menjejaskan industri tempatan, Liew berkata kerajaan telah memperkenalkan New Incentive Framework mulai 1 Mac tahun ini bagi menangani isu sedemikian.

“Dengan NIF, semua pelaburan mesti dilalui ataupun dilaksanakan melalui skor kad. Hanya dengan skor kad yang tinggi yang merangkumi complexity of economy, merangkumi idea bahawa lebih ramai pekerja tempatan diupahkan.

“Dalam enam skor kad ini, kalau ada skoring yang mematuhi apa yang diperlukan, baru insentif diberi. Dengan NIF, kerajaan harap keadaan yang disebutkan oleh yang berhormat bagan ini tidak diulangi,” katanya.

Lim membangkitkan pemberian insentif cukai atau tax holiday selama 15 tahun kepada syarikat asing yang didakwa menjejaskan daya saing industri besi dan keluli tempatan.

-- BERNAMA