Bursa Malaysia Dibuka Rendah

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin, seiring dengan kemerosotan pasaran serantau berikutan tekanan jualan berterusan terhadap saham berkaitan teknologi, semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) global.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 9.60 mata kepada 1,546.91 daripada 1,556.51 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ad Banner

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 9.07 mata kepada 1,547.44.

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 478 berbanding 60 manakala 181 kaunter tidak berubah, 2,122 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 223.55 juta unit bernilai RM126.96 juta.

Ad Banner
Ad Banner

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata FBM KLCI terus merosot dan ditutup pada sekitar paras 1,555 dalam persekitaran kemerosotan pasaran serantau.

“Aktiviti pembelian pada harga rendah yang amat dinanti-nantikan itu masih belum berlaku setakat ini, memandangkan terdapat tekanan jualan yang kuat di peringkat serantau.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks tidak akan berubah buat masa ini sehingga pasaran global kembali stabil,” katanya kepada Bernama.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM9.91, Public Bank susut satu sen kepada RM4.48. CIMB berkurangan empat sen kepada RM7.00, Tenaga Nasional merosot 12 sen kepada RM12.56, manakala IHH Healthcare menguncup dua sen kepada RM7.88.

Bagi saham aktif, Revenue IF Bhd naik 1.5 sen kepada sembilan sen, Dagang NeXchange turun 1.5 sen kepada 40.5 sen, NWE Resources merosot setengah sen kepada 16 sen, JCY International susut empat sen kepada 43.5 sen, manakala VS Industry berkurangan satu sen kepada 23.5 sen.

Kaunter paling untung menyaksikan Mega Fortris menokokk tujuh sen kepada RM1.37, Petronas Gas menambah enam sen kepada RM17.30. Hong Leong Bank melonjak empat sen kepada RM21.14, Jaya Tiasa menokok 3.5 sen kepada 87 sen, manakala APM Automotive naik tiga sen kepada RM2.52.

Bagi kaunter paling rugi, Kelington susut 52 sen kepada RM6.31. MI Technovation merosot 34 sen kepada RM5.24, Sunway Construction berkurangan 31 sen kepada RM6.61, Malaysian Pacific Industries menguncup 28 sen kepada RM33.48, manakala Fraser & Neave merosot 26 sen kepada RM19.50.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 115.50 mata kepada 11,376.336, Indeks FBM Top 100 berkurangan 108.28 mata kepada 11,232.54 dan Indeks FBM ACE menurun 131.23 mata kepada 4,687.58.

Indeks FBM Emas Shariah menyusut 156.12 mata kepada 11,243.12 dan Indeks FBM Mid 70 berkurangan 317.31 mata kepada 15,962.52.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 10.83 mata kepada 18,292.57, Indeks Perladangan menurun 45.42 mata kepada 8,642.34, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 2.66 mata kepada 157.56 dan Indeks Tenaga menyusut 14.50 mata kepada 724.82.

-- BERNAMA